Perkembangan mutakhir perang Iran – AS – negara haram Israel

- Advertisement -

TENTERA Iran atau IRGC terus menghujani negara haram Israel dengan serangan peluru berpandu balistik dan dron dengan menyasarkan Tel Aviv, Jerusalem, Negev, Dimona, Beersheba, Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, Eilat, Netanya, Utara Semenanjung Gaza, Utara dan tengah Tebing Barat, Gush Dan, Holon dan lain-lain tempat lagi.

Serangan turut dilancarkan ke atas dua fasiliti sensitif iaitu Lahav 433, pasukan polis elit khas rejim penjajah Zionis Israel dan Gilat Defence, sebuah syarikat utama komunikasi satelit yang terbabit dengan tentera rejim penjajah Zionis Israel.

Tentera Iran atau IRGC terus melancarkan serangan udara dan dron ke atas aset-aset strategik dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara Asia Barat seperti Bahrain, UAE, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan dan Erbil di wilayah Kurdistan termasuk pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad, Iraq.

- Advertisement -

Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Nasional Republik Islam Iran Ali Larijani dalam laman media sosial X berkata ‘saya mendengar bahawa saki-baki pasukan Epstein telah merancang satu konspirasi untuk mencipta insiden menyerupai peristiwa 9/11 dan akan menuduh Iran melakukannya. Iran tidak berada dalam keadaan perang dengan rakyat Amerika Syarikat, dan hari ini hanya mempertahankan diri daripada pencerobohan Amerika Syarikat dan negara haram Israel.

Menteri Luar Iran Abbas Arghchi dalam wawancaranya dengan Al-Araby al-Jadeed berkata Amerika Syarikat dan negara haram Israel telah mengguna dron jenis ‘Lucas’ yang menyerupai dron milik Iran iaitu Shahed untuk melancarkan serangan ‘false flag’ di negara-negara Asia Barat dan kemudiannya menyalahkan Iran. Beliau juga turut berkata bahawa serangan Amerika Syarikat ke atas dua buah pulau Iran di Teluk Parsi yang berlangsung pada Sabtu lepas dilancarkan dari UAE. Pihak yang bersekongkol akan menerima balasan, tegasnya.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf dalam reaksi di laman media sosial X terhadap dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah menewaskan Iran berkata ‘Trump telah mendakwa beliau telah menewaskan Iran sebanyak 9 kali dalam 2 minggu yang lalu, melucukan!’.

Kementerian Kesihatan negara haram Israel melaporkan bahawa dalam tempoh 24 jam lalu seramai 108 orang pendatang haram Yahudi mengalami kecederaan akibat daripada serangan dron dan peluru berpandu oleh Tentera Iran atau IRGC dan Hizbullah.

Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan menyasarkan aset-aset strategik di Tehran, Isfahan, Hamedan, Shiraz dan Karaj. Dilaporkan juga bahawa Pusat Penyelidikan Angkasa Lepas Iran mengalami kerosakan teruk akibat serangan tersebut.

Tentera udara negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Lubnan dengan menyasarkan Beirut, Nabatieh, Saida, Khiam, Sidon, Toul dan sebahagian besar bandar di Selatan Lubnan.

Hezbullah terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara haram Israel dengan menyasarkan serangan ke atas Tel Aviv, Haifa, Tabyeh, Khiam, Labbouneh, Metula, Nahariya, Galilee, Bukit Golan dan sebahagian besar wilayah Utara negara haram Israel. Hizbullah dilaporkan turut melancarkan serangan peluru berpandu ke atas fasiliti industri ketenteraan Yodifat milik tentera penjajah rejim Zionis Israel di Acre, pangkalan tentera Palmachim di Utara Tel Aviv dan pangkalan tentera Tzipori di Timur Haifa.

Kumpulan pejuang Iraq dilaporkan melancarkan serangan dron ke atas bangunan Konsulat UAE di Erbil, wilayah Kurdistan, Iraq yang mengakibatkan bangunan Konsulat UAE terbakar dan mengalami kerosakan teruk. Dilaporkan juga loji pemprosesan minyak Lanaz di wilayah Erbil, wilayah Kurdistan, Iraq mengalami kebakaran besar akibat daripada serangan dron. Satu serangan dron telah disasarkan ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad, Iraq yang mengakibatkan sistem pertahanan udara dan radar di bangunan kedutaan tersebut musnah.

Media negara haram Israel Yedioth Ahronoth melaporkan bahawa sebuah bangunan di Jerusalem yang menempatkan pegawai kanan Amerika Syarikat mengalami kerosakan teruk akibat serangan peluru berpandu Iran ke atas Jerusalem.

Hizbullah dilaporkan menyusun kembali serangannya bagi menghadapi serangan darat besar-besaran tentera rejim penjajah Zionis Israel.

The Wall Street Journal melaporkan bahawa pentadbiran Donald Trump bercadang untuk mengumumkan gabungan negara-negara yang bakal mengiringi kapal dagang yang akan melalui Selat Hormuz.

Negara haram Israel akan memanggil dan mengerahkan seramai 450,000 orang tentera simpanan bagi menghadapi kemungkinan melancarkan operasi ketenteraan darat ke atas Lubnan.

Semenjak perang meletus, sebanyak 18 buah kapal dagang yang terdiri daripada kapal tangki minyak, kapal kontena dan kapal dagang pukal telah diserang oleh dron dan peluru berpandu Tentera Iran atau IRGC kerana tidak mengendahkan amaran untuk tidak melalui Selat Hormuz.

Bloomberg melaporkan berdasarkan sumber dari pegawai negara Eropah bahawa kenyataan Donald Trump berkenaan berjaya memusnahkan kekuatan ketenteraan Iran adalah berlebih-lebihan dan berkemungkinan ia akan membuka ruang untuk mengumumkan berakhirnya operasi ketenteraan ke atas Iran.

Masyarakat antarabangsa terus mengadakan protes besar-besaran anti perang hari ini apabila puluhan ribu warga Kanada mengadakan protes anti perang di beberapa bandar utama di Kanada. Protes besar-besaran anti perang juga turut berlangsung di Perancis dan Britain apabila puluhan ribu mengadakan protes di Paris dan London.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
26 Ramadan 1447H / 16 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 16/3/2026

- Advertisement -