Isu tekanan kerja doktor muda cetus kebimbangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu tekanan emosi dalam kalangan doktor muda telah mencetuskan kebimbangan mengenai tahap tekanan yang dihadapi pegawai perubatan siswazah ketika menjalani latihan perubatan yang terkenal dengan beban kerja tinggi.

Ia kembali menjadi perhatian selepas seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemukan meninggal dunia di bilik air asrama di Hospital Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat, 6 Mac lalu.

- Advertisement -

Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR), dan bagi membantu siasatan lanjut, polis turut merakam keterangan lebih 10 individu termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa.

Mengulas kejadian berkenaan, Timbalan Exco Kesihatan Mental dan Psikiatri Skuad Sihat, Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Ika Razali berkata masyarakat perlu memainkan peranan dengan memberikan sokongan kepada ahli keluarga atau rakan yang menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi, termasuk dalam kalangan pegawai perubatan.

Beliau menyatakan bahawa antara langkah yang boleh dilakukan ialah menjadi pendengar yang baik dengan mendengar secara empati tanpa menghakimi serta cuba memahami cabaran yang sedang dihadapi individu yang berdepan tekanan.

“Selain itu, masyarakat juga perlu mengelakkan sikap menghakimi kerana setiap individu melalui pengalaman hidup yang berbeza. Apa yang mungkin kelihatan kecil bagi kita boleh menjadi beban yang besar bagi orang lain.

“Stigma terhadap isu kesihatan mental sering menjadi penghalang utama seseorang untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, Dr Ika berkata individu yang mengalami tekanan emosi digalakkan mendapatkan bantuan profesional sekiranya perlu, termasuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar kesihatan mental di klinik atau hospital.

Menurutnya, selain temu janji klinikal, terdapat juga hospital yang menyediakan program sokongan khusus untuk pegawai perubatan siswazah seperti House Officer Encouragement and Reassurance Through Sharing & Support (HEARTS).

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menghargai petugas kesihatan ketika mendapatkan rawatan di hospital.

“Sebagai anggota masyarakat, apabila berkunjung ke hospital, jangan lupa bahawa senyuman serta ucapan terima kasih kepada doktor yang merawat mampu memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang mungkin sedang memikul tekanan emosi,” jelasnya.

Dr Ika turut menitipkan penghargaan kepada para doktor yang sedang berkhidmat di lapangan agar terus diberikan kekuatan dalam melaksanakan amanah yang besar.

“Mendapatkan bantuan bukanlah tanda kelemahan. Sebaliknya, ia merupakan langkah berani ke arah pemulihan, perkembangan diri dan penjagaan kesejahteraan mental,” katanya.

Beliau juga berkata, umum mengetahui bahawa profesion kedoktoran menuntut tahap komitmen yang sangat tinggi. Selepas menamatkan pengajian dalam bidang perubatan, seorang pegawai perubatan siswazah perlu melalui tempoh latihan wajib selama dua tahun sebelum layak diiktiraf sebagai doktor yang terlatih dan berdaftar.

Namun menurut Dr Ika, tempoh itu juga dianggap antara fasa paling mencabar dalam kerjaya perubatan kerana ia menuntut tahap ketahanan fizikal dan emosi yang tinggi.

Katanya lagi, antara cabaran yang sering dihadapi termasuk waktu bekerja yang panjang, tempoh tidur yang tidak mencukupi, masa rehat yang terhad serta tekanan dan teguran semasa bertugas.

“Selain itu, mereka juga perlu berhadapan dengan pelbagai ragam pesakit dan ahli keluarga, ketidakpastian mengenai masa depan kerjaya, kekangan masa untuk kehidupan sosial serta cabaran dalam hubungan dengan pasangan atau ahli keluarga.

“Kesemua faktor ini boleh menyumbang kepada pelbagai isu kesihatan mental dalam kalangan pegawai perubatan siswazah, termasuk kemurungan, trauma emosi serta kerisauan yang berpanjangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2026

- Advertisement -