Masyarakat Siam turut serta iftar Ramadan

Majlis Tadarus dan Iftar Perdana Ramadan peringkat DUN Gaal raih sambutan

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Majlis Tadarus dan Iftar Perdana Ramadan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal yang diadakan di Dataran Sungai Gaal dekat sini mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 600 orang hadir memeriahkan program tersebut.

Program tahunan itu buat julung kalinya diadakan di lokasi berkenaan dan turut disertai kira-kira 10 warga Siam yang bersama-sama berbuka puasa dengan masyarakat Islam setempat.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Ustaz Mohd Rozy Jaafar berkata, program berkenaan dianjurkan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut.

Menurutnya, pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut terlibat menjayakan program berkenaan.

“Selain pimpinan dan ahli Bersatu, masyarakat berbilang kaum termasuk kaum Siam turut hadir memeriahkan majlis ini.

“Menu makanan pula disediakan secara gotong-royong termasuk gulai lembu bersama pelbagai hidangan lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Tambah beliau selain majlis berbuka puasa tahunan anjuran Pusat Khidmat DUN Gaal, program berbuka puasa secara ‘potluck’ bersama keluarga turut diadakan setiap Rabu sepanjang Ramadan di lokasi yang sama.

Katanya, program santai keluarga itu bermula pada Rabu pertama Ramadan dan dijangka berakhir pada Rabu ini selepas empat siri penganjuran dengan sambutan yang amat menggalakkan.

“Yang penting rakyat DUN Gaal dapat berkumpul dalam suasana harmoni dan gembira di negeri Kelantan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa syukur kerana masyarakat setempat memberikan sokongan baik dengan membawa pelbagai juadah untuk dinikmati bersama keluarga.

“Majlis ini dianjurkan bagi merapatkan hubungan antara satu sama lain, selain memberi peluang masyarakat bertukar-tukar juadah ketika berbuka puasa di tepi Sungai Gaal ini.
“Pada masa yang sama kita juga dapat menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama-sama di sini,” katanya.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Mohd Zawawi Salleh. – HARAKAHDAILY 16/3/2026

- Advertisement -