PAS hanya isi lima dari 11 pimpinan utama PN

Dakwaan DAP ‘PAS Nasional’ hujah falasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa PAS menguasai Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tidak berasas apabila hanya lima daripada 11 jawatan kepimpinan utama dalam gabungan itu diisi oleh pemimpin parti berkenaan.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, hakikat itu jelas menunjukkan PN bukan didominasi oleh PAS seperti didakwa pihak tertentu.

- Advertisement -

“Daripada senarai organisasi pimpinan Perikatan Nasional (PN), hanya lima daripada 11 diisi oleh pimpinan PAS. Ini belum dikira ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) lain. Jadi celah mana DAP kata PAS kuasai Perikatan Nasional?” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, PAS memperoleh beberapa jawatan penting dalam PN kerana parti itu memiliki jentera yang kuat serta pimpinan yang berkelayakan dalam gabungan berkenaan.

“Logiklah PAS dapat kerusi tertinggi kerana PAS ada jentera terkuat dalam PN dan mempunyai pimpinan yang berkelayakan, maka PAS mendapat jawatan lebih dalam PN,” tegasnya.

Mengulas kepimpinan PN, beliau menyifatkan kemungkinan PAS menerajui jawatan Perdana Menteri bukan sesuatu yang mustahil, mengambil kira ketokohan Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam).

Menurutnya agi, keadaan itu berbeza dengan DAP dalam Kerajaan PH-BN yang memiliki kerusi terbanyak, namun memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memegang jawatan kanan.

“Dalam masa sama, DAP pegang ‘telur’ Kerajaan Madani dan laksanakan agenda jahatnya secara tersembunyi. Dulu kata nak lawan rasuah, sekarang tidur setilam dengan orang yang terlibat rasuah.

“Hakikatnya pengundi Cina dah mula sedar temberang DAP dan bersedia untuk tidak mengundi dalam PRU16 nanti. Tidak mustahil, pendirian itu akan berubah kepada mahu undi PN yang dipimpin Dr Samsuri. Itu yang DAP sudah ‘kecut telur’,” bidasnya.

Mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong yang menyifatkan PN sebagai ‘PAS Nasional’, Dr Nurul Islam berkata hujah berkenaan adalah falasi.

“Perikatan Nasional dianggotai beberapa parti komponen dan setiap parti mempunyai wakil dalam kepimpinan gabungan itu,” katanya.

Antara jawatan utama dalam PN ialah Pengerusi yang disandang Dr Sam (PAS), Timbalan Pengerusi Tan Sri Muhyiddin Yassin (BERSATU), Dato’ Seri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS), Dr Dominic Lau (GERAKAN) dan P Punithan (MIPP).

Selain itu, Setiausaha Agung PN ialah Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS) dengan timbalannya Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (BERSATU), Wong Chia Zhen (GERAKAN) dan Dato’ Sivakumar Krishnan (MIPP).

Jawatan Bendahari pula disandang Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor (PAS), Pengarah Pilihan Raya, Dr Radzi Jidin (BERSATU) dan Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa (PAS).

Sementara itu, Dr Nurul Islam turut menegaskan bahawa kenyataan DAP itu dibuat kerana parti berkenaan bimbang terhadap penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Dr Sam.

“Termasuklah bekas pimpinan utama DAP Ronnie Liu, yang bersedia memberikan undi kepada Dr Samsuri.

“Itu pimpinan DAP, bagaimana dengan pengundi biasa di kalangan bukan Islam, dah tentu mereka lebih dari sudi nak berikan undi kepada Perikatan Nasional.

“Maka DAP terpaksa kembali kepada taktik lama iaitu taktik menakutkan pengundi bukan Islam dengan ‘racial cards’.

“Pengundi bukan Islam ditakutkan dengan Perikatan Nasional dikuasai oleh PAS dan sekiranya PAS berkuasa macam macam tekanan kepada orang bukan Islam.

“Dia lupa, rakyat cerdik daripada pemimpin DAP. Rakyat boleh menilai dan membaca halatuju PAS. Yang tak ada hala tuju adalah DAP.

“Kerja mereka main kad perkauman agar terus relevan di kalangan pengundi bukan Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2026

- Advertisement -