Islam perlu bersatu hadapi kezaliman Zionis

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin dan Iran yang berdepan serangan serta pencabulan kedaulatan negara oleh Zionis Israel.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, setiap negara berdaulat seharusnya dihormati dan tidak boleh diceroboh atau diserang sesuka hati oleh mana-mana pihak.

- Advertisement -

Menurutnya, tindakan menyerang negara lain tanpa menghormati sempadan dan kedaulatan jelas bercanggah dengan prinsip keadilan serta undang-undang antarabangsa.

“Setiap negara mempunyai kedaulatan yang perlu dihormati dan kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak menyerang negara lain sesuka hati.

“Jika perkara ini dibiarkan tanpa sebarang pendirian, musuh akan semakin berani melakukan apa sahaja termasuk penindasan dan pembunuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai program Solidariti terhadap Palestin dan Iran di Medan Ilmu di sini, yang dianjurkan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Mohd Nassuruddin menegaskan, konflik yang berlaku turut menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan sistem undang-undang antarabangsa apabila terdapat pihak yang berkuasa tidak menghormatinya.

Katanya, keadaan itu juga menimbulkan tanda tanya terhadap peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang didakwa tidak mengambil tindakan tegas walaupun berlaku pencabulan kedaulatan terhadap sesebuah negara.

“Timbul persoalan terhadap keberkesanan sistem undang-undang antarabangsa jika undang-undang itu sendiri tidak dihormati oleh pihak yang berkuasa,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa perpaduan umat Islam amat penting dalam menghadapi cabaran serta tekanan geopolitik yang melibatkan negara-negara Islam.

“Orang Islam ini ramai di seluruh dunia, tetapi jika kita berpecah-belah, kita menjadi lemah. Sebab itu dalam Islam, kesatuan umat adalah sesuatu yang sangat penting supaya kita mampu mempertahankan maruah dan kedaulatan negara Islam,” katanya lagi.
Tambah beliau, umat Islam juga perlu mengambil peluang pada penghujung Ramadan untuk memperkukuhkan perpaduan serta meningkatkan doa agar keamanan dan keadilan dapat ditegakkan.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan bahawa sejarah menunjukkan sejahat-jahat Firaun sekalipun tidak mengejar Nabi Musa AS selepas Baginda melintasi sempadan Mesir menuju ke bumi Madyan.

Namun katanya, dunia hari ini sebaliknya menyaksikan kuasa-kuasa besar semakin melampau menyerang negara umat Islam sehingga sanggup melanggar kedaulatan sesebuah negara.

“Apabila negara Islam mempertahankan diri dengan menyerang balas, mereka pula dilabel sebagai pengganas, sedangkan hakikatnya merekalah pengganas yang sebenar.

“Dalam masa yang sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula membisu seribu bahasa dan seolah-olah membiarkan kuncu mereka meratah umat Islam dengan melanggar segala undang-undang dan resolusi antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, himpunan tersebut amat wajar diadakan bagi membangkitkan kesedaran umat Islam mengenai hakikat sebenar yang sedang berlaku terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Beliau menegaskan lagi, pihak yang menindas umat Islam sebenarnya pengecut dan penakut, namun mereka dilihat berani kerana kelemahan serta perpecahan dalam kalangan umat Islam sendiri.

“Justeru, dengan semangat Ramadan sebagai bulan kemenangan umat Islam, saya mengajak seluruh umat Islam agar bersatu padu dan menjauhi perpecahan supaya kita dapat menguatkan kembali suara Islam,” ujarnya.

Dalamn pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan atas penganjuran himpunan solidariti tersebut.

Turut hadir menyampaikan ucapan dalam program berkenaan ialah Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob serta Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi.

Sehubungan itu Mohd Firdaus pula berkata, himpunan solidariti yang dianjurkan pihaknya disifatkan sebagai usaha penting untuk membangkitkan kesedaran umat Islam terhadap penindasan yang berlaku ke atas saudara seagama di seluruh dunia.

“Sejarah telah mengajar umat Islam satu perkara penting mengenai kezaliman dan kuasa.

“Hari ini kita bangkit, umat Islam seluruh dunia juga bangkit untuk mempertahankan agama kita. Anak muda perlu sedar dengan apa yang berlaku hari ini, ia sebenarnya adalah serangan terhadap Islam serta penganutnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2026

- Advertisement -