
KUALA TERENGGANU: TDM Berhad melalui anak syarikatnya, TDM Agrobiz Sdn Bhd meraih pensijilan Malaysian Good Agricultural Practices (MyGAP) daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu sebagai pengiktirafan terhadap pelaksanaan amalan pertanian yang berkualiti, selamat dan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh sektor agro makanan tempatan serta menyokong agenda keselamatan makanan negara.
“Pensijilan MyGAP ini merupakan satu pencapaian penting bagi TDM Agrobiz dalam memastikan setiap proses penanaman dan pengeluaran hasil pertanian mematuhi standard amalan pertanian terbaik.
“Melalui inisiatif ini, kami bukan sahaja menumpukan kepada pengeluaran hasil yang berkualiti dan selamat, malah turut berusaha memastikan bekalan agro makanan tempatan kekal stabil serta mampu menyokong keperluan pasaran domestik,” katanya.
Majlis penyerahan sijil itu disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr Sukati Sakka kepada Pengurus Besar TDM Agrobiz Sdn Bhd, Zharudin Narudin di Bilik Mesyuarat Utama jabatan berkenaan di sini.
MyGAP merupakan skim pensijilan yang dikeluarkan dan diuruskan oleh Jabatan Pertanian Malaysia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik, selamat, berkualiti dan mampan untuk pasaran tempatan serta antarabangsa.
Sejak Januari 2025, TDM Agrobiz Sdn Bhd melaksanakan inisiatif bagi menangani isu bekalan cili yang sering terjejas, terutama ketika musim tengkujuh.
Melalui kaedah penanaman menggunakan Rumah Pelindung Hujan (RPH), tanaman cili dapat dilindungi daripada perubahan cuaca termasuk hujan lebat dan panas melampau.
Pendekatan itu membantu memastikan pengeluaran lebih konsisten, menstabilkan harga pasaran selain mengurangkan kebergantungan kepada produk import.
Sementara itu, Zharudin berkata, pensijilan berkenaan turut memperkukuh usaha syarikat meningkatkan kecekapan operasi serta pengeluaran hasil pertanian berkualiti tinggi.
“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada TDM Agrobiz untuk terus memperluaskan projek agro makanan secara mampan. Kami komited untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri dan pemain pasaran bagi memastikan bekalan hasil pertanian tempatan sentiasa mencukupi dan berdaya saing.
“Melalui inisiatif-inisiatif ini, TDM Agrobiz berharap dapat terus menyokong pembangunan sektor agro makanan negara, meningkatkan pengeluaran hasil tempatan serta memastikan bekalan makanan yang berkualiti dan mampan untuk pasaran domestik,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2026




















