Waktu operasi premis karaoke: Terengganu bersikap terbuka

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu bersikap terbuka untuk mendengar pandangan pengusaha pusat karaoke di negeri ini berhubung ketetapan waktu operasi premis berkenaan yang dihadkan sehingga pukul 10 malam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pertemuan bersama pengusaha terbabit diadakan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung selain menjelaskan asas pertimbangan kerajaan negeri dalam menetapkan peraturan tersebut.

Menurutnya, keputusan menetapkan had waktu operasi sebelum ini dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor penting termasuk kesejahteraan masyarakat, kawal selia premis hiburan serta kepentingan awam.

“Kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar pandangan daripada semua pihak berkepentingan.

“Saya percaya, ruang perbincangan seperti ini amat penting bagi memastikan setiap keputusan yang diambil mengambil kira pelbagai sudut pandang, di samping mencari jalan penyelesaian yang seimbang antara kepentingan ekonomi, sosial dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Terdahulu, pada akhir Februari lalu, media telah melaporkan bahawa kerajaan negeri menetapkan semua pusat karaoke di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu hanya dibenarkan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ketetapan itu berkuat kuasa serta-merta bagi menyeragamkan waktu operasi pusat hiburan keluarga di seluruh negeri yang sebelum ini didapati berbeza antara satu kawasan dengan kawasan lain.

Kegagalan mematuhi ketetapan baharu ini akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, tertakluk kepada undang-undang di bawah Seksyen 11 (2), Enakmen Hiburan di Tempat Hiburan 2002. – HARAKAHDAILY 12/3/2026

- Advertisement -