Kedah peruntuk hampir RM8j untuk Aidilfitri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM7.95 juta untuk sumbangan serta bantuan khas sempena Aidilfitri kepada golongan sasaran seluruh Kedah tahun ini, demikian maklum
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Jumlah tersebut katanya, termasuk bantuan khas hari raya sebanyak RM1,000 kepada 5,600 kakitangan awam Kerajaan Negeri, melibatkan RM5.6 juta yang akan dibayar pada 13 Mac ini.

“Kita juga memberi sumbangan ‘beras pulut’ sebanyak RM200 setiap seorang kepada 2,480 Pengerusi dan Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) seluruh Kedah dengan peruntukan sebanyak RM495,000.

“Tidak ketinggalan kepada imam-imam lantikan Kerajaan Negeri seramai 205 orang (RM500 seorang) dengan jumlah kos sebanyak RM102,500,” kata beliau.

Sanusi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sumbangan Hari Raya kepada 40 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu, di Wisma Darul Aman, semalam.

Dalam pada itu ujarnya, Kerajaan Negeri juga menyediakan RM20,000 sumbangan sebanyak RM500 kepada guru-guru KAFA lantikan masjid dan PIBG surau, seramai 40 orang.

Di samping itu, 420 kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMs) juga menerima RM500 setiap seorang, yang peruntukan RM210,000.

Katanya, jumlah berkenaan mungkin dilihat agak kecil, tetapi dalam konteks Kerajaan Negeri jumlah tersebut sebenarnya besar dan banyak.

Menurutnya lagi, komitmen Kerajaan Negeri kepada sukarelawan kampung seperti bidan, guru Al-Quran, fadhu ain, bomoh patah, penggali kubur, tukang mandi jenazah dan lain-lain diteruskan lagi Ramadan kali ini.

Ujarnya, sebanyak RM2,145 juta disediakan untuk sumbangan kepada golongan terbabit, melibatkan 150 penerima di setiap DUN di negeri itu.

Selain itu maklumnya, sebanyak RM180,000 dibelanjakan untuk majlis-majlis berbuka puasa di setiap daerah, termasuk bersama agensi-agensi berkaitan.

Juga tidak dilupakan golongan kurang berkemampuan, ibu tunggal, uzur, warga emas dan sebagainya, yang juga antara bakal menerima sumbangan hari raya dari Kerajaan Negeri kali ini.

“Sumbangan ini disasarkan kepada 40 penerima dari setiap DUN melibatkan keseluruhan berjumlah 1,480 penerima dan akan disampaikan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), masing-masing.

“Saya mengharap agar pada tahun depan peruntukan dilipatgandakan lagi agar lebih ramai lagi merasai nikmatnya, termasuk juga kaum India dan Cina yang turut menerima sumbangan pada hari perayaan mereka,” kata beliau lagi.

Kesempatan itu juga, Sanusi menjemput semua rakyat Kedah ke Rumah Terbuka Menteri Besar yang akan diadakan pada 27 Mac akan datang di Kediaman Rasminya, Seri Mentaloon.

Majlis tersebut katanya akan diadakan bermula jam 5:00 petang hingga 11:00 malam dan dijangka pengunjung lebih ramai dari tahun lalu kerana ia diadakan pada musim cuti persekolahan.- HARAKAHDAILY 12/3/2026

- Advertisement -