‘Rakyat yang impikan Dr Sam ke Putrajaya’

Walau ada pihak beranggapan Pengerusi PN bukan jaminan PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan mencetuskan gelombang baharu dalam landskap politik negara. 

- Advertisement -

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ada pihak beranggapan kedudukan Dr Sam sebagai Pengerusi PN bukan jaminan beliau akan menjadi calon Perdana Menteri. 

Bagaimanapun, katanya, selepas pilihan raya umum lalu menyaksikan PN tercari-cari calon Perdana Menteri yang mampu menandingi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kemunculan Dr Sam disifatkan bagaikan fajar yang terbit memecahkan kegelapan. 

“Pandangan yang bertentangan dengan harapan rakyat ini tidak akan sama sekali melunturkan semangat dan keyakinan rakyat yang mengimpikan Dr Sam menerajui Putrajaya,” katanya dalam media sosial miliknya. 

Menurut Iskandar, pelantikan Dr Sam sebagai Pengerusi PN dialu-alukan oleh mereka yang mahu melihat perubahan di negara ini. 

“Malah bukan sahaja mengalu-alukan tetapi mengharapkan beliau menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum akan datang,” ulasnya. 

Beliau berkata, terdapat pihak yang membuat perbandingan antara Dr Sam dan Anwar sebelum merumuskan bahawa Dr Sam lebih layak. 

“Sama ada anda bersetuju atau tidak dengan rumusan tersebut, tidak dapat dinafikan pelantikan Dr Sam telah mencetuskan satu gelombang baharu. 

“Sama ada anda menyokong PN atau tidak, anda tentu bersetuju Dr Sam memiliki aura yang tersendiri walaupun beliau bukan seorang pemidato yang berapi-api,” tegasnya. 

Beliau juga menyatakan, mungkin kerana faktor itu juga terdapat serangan terhadap Terengganu bagi mematikan gelombang Dr Sam yang sedang melanda. 

Terdahulu media tempatan melaporkan, seorang pemimpin berkata, Dr Sam dilantik sebagai Pengerusi PN, tetapi bukan bermaksud calon Perdana Menteri bagi gabungan berkenaan. 

Pelantikan itu ujarnya, dibuat atas desakan PAS dan Majlis Tertinggi PN melihatnya sebagai peluang memberi ruang kepada pemimpin muda.

“Masih terlalu awal menilai prestasi Dr Sam dan menyatakan beliau perlu diberikan ,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2026

- Advertisement -