‘Yang pasti TSMY bukan lagi calon PM’ – Dr Sam

Perikatan Nasional fokuskan usaha perkukuhkan parti, memantapkan muafakat 

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) memilih untuk memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti dan memantapkan muafakat berbanding membincangkan soal calon Perdana Menteri menjelang pilihan raya akan datang.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, siapa pun yang akan dinamakan sebagai calon bukan isu utama ketika ini kerana keutamaan parti adalah memastikan jentera berada dalam keadaan tersusun dan bersedia.

“Siapa pun calon (Perdana Menteri), keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kedudukan calon Perdana Menteri bagi gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman turut mengesahkan bahawa Muhyiddin bukan lagi calon Perdana Menteri akan datang.

“Yang pasti Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bukan lagi calon PM,” katanya.

Terdahulu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN bukan bermaksud Menteri Besar Terengganu itu ialah calon Perdana Menteri bagi gabungan berkenaan.

Muhyiddin berkata, soal calon Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan. – HARAKAHDAILY 5/3/2026

- Advertisement -