Anwar sendiri dilihat berada dalam ‘sangkar fitnah rasuah’

Rafizi dedah keterlibatan langsung Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menempelak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan menyifatkan beliau dilihat berada dalam ‘sangkar fitnah rasuah’, meskipun kononnya bersungguh memerangi rasuah.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata demikian susulan pendedahan bekas Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli bahawa Anwar terlibat secara langsung dalam isu pelaburan RM1 bilion dengan Arm Holdings.

Menurut Rafizi keterlibatan langsung Anwar termasuk menyusun pertemuan, mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri, dan merasmikan usahasama.

Kata Ustaz Fadhli, walaupun prinsip undang-undang menyatakan seseorang tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah, beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin itu menimbulkan keraguan.

“Contohnya Timbalan beliau dalam Kabinet kerajaan. Pernah juga pemimpin parti beliau sendiri mendedahkan penerimaan wang kotor. Begitu juga sebelum ini Setiausaha Politik beliau didakwa meminta dan menerima pemberian wang. Terkini bekas Timbalan beliau dalam PKR,” bidasnya.

Walaupun tanpa menyebut nama, bidasan Ahmad Fadhli itu dipercayai merujuk kepada Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng serta Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Anwar memanjangkan kontrak jawatan dan seolah-olah memihak kepada Ketua badan yang sepatutnya menguatkuasakan isu rasuah, sedangkan sebelum ini lantang mendesak individu berkenaan ditangkap.

“Sedangkan dahulunya beliau ‘melalak’ berdemo jalanan mendesak individu itu ditangkap,” sindir beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dipercayai merujuk kepada Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau juga menempelak Anwar kerana ketika sama tokoh-tokoh politik lawan yang pernah dituduh menerima rasuah, termasuk terhadap PAS dan Perikatan Nasional, namun sehingga kini gagal dibuktikan pemimpin itu.

“Kami tumpang bersedih untuk anda yang berterusan gagal melaksanakan pelbagai janji reformasi walaupun dikatakan ada ‘numbers, convincing and formidable’,” sindirnya.

Terdahulu media tempatan turut melaporkan, Rafizi menegaskan Anwar harus menjadi fokus siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika wujud penyelewengan.

Beliau bekata demikian sambil menyindir tindakan SPRM yang mengejar bekas pegawai Rafizi, James Chai atas sebab politik dalaman PKR.

James Chai, yang dilantik Rafizi di Kementerian Ekonomi, kecewa dengan penyalahgunaan sumber negara dan menjelaskan peranannya hanyalah meneroka peluang kerjasama teknologi dengan Arm Holdings. – HARAKAHDAILY 5/3/2026

- Advertisement -
- Advertisement -