Terengganu: Umno izinkan PAN letak calon di kerusi Dr Sam bertanding

- Advertisement -

TIMBALAN Pengerusi Umno Terengganu, Dato’ Nik Dir Nik Wan Ku dilaporkan telah bersetuju membuka ruang kepada PAN, rakan kongsi politik mereka bagi mempertaruhkan calon yang dijangka menang menentang Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) dalam PRU-16 yang bakal diadakan mungkin pada tahun ini.

Ini adalah kenyataan balas Umno Terengganu terhadap tawaran oleh PAN Terengganu, melalui Zamir Ghazali yang menyatakan keyakinannya akan dapat memberi tentangan jika beliau dicalonkan di kawasan Dr Sam bertanding.

Namun begitu, Dato’ Nik Dir turut meninggalkan pesan agar PAN tahu dan sedar diri akan kekuatan mereka sebelum membuat tawaran sebegitu. Ini kerana di Terengganu, amat jelas, pertembungan tradisi dalam PRU hanya tertumpu kepada PAS dan BN. Dan PH, apa lagi PAN, tidak ada tempat di Terengganu.

- Advertisement -

Umno, menurut Dato’ Nik Dir hanya mahu menumpukan kepada empat kerusi Parlimen iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman. Manakala tujuh kerusi DUN akan diperkuatkan bagi merampas kembali dari PAS. Umno sendiri mengakui mereka tidak mampu untuk merampas Terengganu dalam situasi politik sekarang.

Akan tetapi, melalui beberapa perkara yang telah berlaku semenjak tahun lepas, PAN melalui Zamir Ghazali dipercayai telahpun memulakan kempen untuk mengalahkan Dr Sam dengan membangkitkan isu beliau sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah MAEPS telah memberikan kelulusan bagi Kerajaan Terengganu menggunakan dewan MAEPS di Serdang Mac 2025 untuk majlis berbuka puasa.

Pada tahun ini pula, Zamir juga turut meletakkan wajahnya bersama Dr Sam dalam poster majlis berbuka puasa anjuran Kerajaan Terengganu dengan ucapan selamat datang kepada perantau Terengganu, walaupun bukan majlis yang beliau anjurkan. Amat difahami, apabila wajah mereka ada dalam satu poster, maka munasabahlah jika mereka berlawan dalam PRU nanti.

Untuk rekod, pada PRU-15, 2023 lalu, tiga majoriti terbesar yang diperolehi oleh PAS semuanya menang ke atas PH di mana dua kerusi di Ru Rendang, Dr Sam (tempat ketiga majoriti terbanyak – 17286) dan di Batu Buruk, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi (tempat kedua majoriti terbanyak – 17668) kedua-dua calon lawannya dari PAN, Suhaimi Sulaiman dan Zamir Ghazali.

Wakaf Mempelam, melalui Dato’ Ustaz Wan Sukari Wan Abdullah memegang rekod majoriti tertinggi dengan perbezaan sebanyak 18627 undi mengalahkan Wan Mohd Haikal Wan Ghazali dari PKR.

Saya yakin PAN sememangnya sedar diri mereka. Tidak perlulah Nik Dir mahu mengajar PAN kerana Nik Dir juga belum pernah menang di mana-mana kerusi sama ada DUN ataupun Parlimen, walaupun sudah banyak kali berpindah kerusi. Dan sekurang-kurangnya Zamir tidak pernah lagi disiasat berkaitan rasuah atau apa-apa salah laku.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 6/3/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -