
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberitahu media Amerika Syarikat Axios bahawa beliau mahu terbabit dalam memilih pemimpin baharu untuk Iran. Beliau turut berkata memilih Mojtaba Khamanei, anak as-Syahid Ayatollah Ali Khamanei adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan Amerika Syarikat mahu sesorang yang mampu membawa keamanan dan keharmonian ke atas Iran, dengan meneruskan polisi as-Syahid Ayatollah Ali Khamanei, ia akan membawa Amerika Syarikat untuk kembali berperang dalam masa 5 tahun lagi.
Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan menyasarkan Tehran, Bandar Abbas, Khoraj, Damavand, Bandar Abbas, Tabriz, Busher, Shiraz, Karaj, Isfahan, Kermanshah, Khorramabad dan beberapa lagi wilayah di Iran yang menyasarkan aset-aset strategik di Iran. Serangan udara turut mengakibatkan kemusnahan ke atas Kompleks Sukan Azadi yang terletak di Tehran.
Tentera Iran dan IRGC terus melancarkan serangan udara dan dron ke atas aset strategik dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara Asia Barat seperti Bahrain, UAE, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan dan Erbil di wilayah Kurdistan, Iraq. Serangan dron turut dilancarkan ke atas pengkalan tentera udara Akrotiri di Cyprus dan loji pemprosesan minyak mentah BAPCO di Bahrain.
Tentera Iran dan IRGC juga turut dilaporkan melancarkan serangan dron ke atas kapal pengangkut pesawat tentera laut Amerika Syarikat USS Abraham Lincoln yang ketika itu berada di Laut Oman, 340km daripada perairan Iran. Serangan itu menyebabkan USS Abraham Lincoln berundur lebih daripada 1000km daripada perairan Iran.
Tentera Iran dan IRGC terus menghujani negara haram Israel dengan serangan peluru berpandu balistik dan dron dengan menyasarkan Tel Aviv, Haifa dan sebahagian besar negara haram Israel yang mengakibatkan kemusnahan besar termasuk kemungkinan kematian dan kecederaan.
Tentera udara negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Lubnan dengan menyasarkan Beirut, Tripoli, Zahleh, Abba, Toul, Kfaruman, Shahabieh, Kfartabneet, Dier Kayfa, Nafakhyeh, Adaysit, Dier Siryan dan sebahagian besar bandar di selatan Lubnan. Turut dilaporkan berlangsung pertempuran sengit antara tentera penjajah regim Zionis Israel dan anggota Hizbullah berhampiran sempadan Lubnan – negara haram Israel.
Hezbullah terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara haram Israel dengan menyasarkan serangan ke atas Tel Aviv, Haifa, Tiberias, Misgav Am, Bukit Golan, Rishon Le Zion, Paran, Kiryat Shmona, Zukim, Shitim. Ramat Gan, Holon, Akka, Nahariya, Margilot dan sebahagian besar wilayah utara negara haram Israel.
Kementerian Luar Azerbaijan mengecam serangan dron yang dilancarkan daripada Iran ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Nakhchivan yang terletak di Nakhchivan, Azerbaijan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 4 orang dilaporkan mengalami kecederaan. Bagaimanapun Iran menafikan melakukan serangan tersebut.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dalam temuramahnya dengan NBC berkata serangan ke atas kapal perang Iran IRIS Dena yang tidak mempunyai sebarang senjata dan dipenuhi dengan pegawai pelatih oleh kapal selam tentera laut Amerika Syarikat berhampiran Sri Lanka adalah jenayah perang. Beliau turut ditanya dalam temuramah yang sama adakan beliau takut di atas pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iran, jawapan Abbas Araghchi adalah kami sedang menunggu mereka.
Tentera Iran menyatakan bahawa ia menghormati kedaulatan Turkiye dan menafikan melancarkan sebarang serangan peluru berpandu ke atas Turkiye.
Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov menyatakan bahawa Rusia amat komited untuk mengembalikan Semenanjung Gaza kepada rakyat Palestin. Beliau turut menyatakan bahawa Rusia akan melakukan apa yang apa sahaja untuk mencipta senario yang akan membuatkan operasi ketenteraan Amerika Syarikat dan negara haram Israel ke atas Iran sukar dan mustahil.
Perancis dilaporkan memberikan kebenaran sementara untuk pesawat pejuang tentera udara Amerika Syarikat menggunakan pangkalan tenteranya di Asia Barat.
Washington Post melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberitahu pemimpin Kurdis bahawa mereka mesti memilih sama ada untuk berpihak kepada Amerika Syarikat dan negara haram Israel atau pun dengan Iran.
Billionaire dan ahli perniagaan terkenal UAE Khalaf Ahmad Al-Habtoor mengecam keras Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan berkata ‘siapa yang memberi anda kuasa untuk mengheret Asia Barat ke dalam perang dengan Iran? Siapa yang memberikan anda keizinan untuk menjadikan Asia Barat sebagai medan perang? Dan atas asas apakah yang anda membuat keputusan berbahaya ini?’.
Pemimpin Ansarullah, Abdul Malik al-Houthi menyatakan bahawa Ansarullah bersiap sedia untuk terbabit dalam peperangan yang sedang berlangsung di pihak Iran jika keadaan memerlukan.
Media Turkiye Middle East Eye dalam laporan eksklusifnya mendedahkan bahawa pegawai Iran mendakwa rejim penjajah Zionis Israel sedang melakukan serangan dron ke atas fasiliti minyak dan gas serta infrastruktur awam di negara-negara Teluk, menyatakan serangan tersebut adalah usaha untuk membangkitkan kemarahan dan mengheret negara-negara Teluk untuk berperang dengan Iran.
Dilaporkan melalui satu rakaman media sosial yang tular meluas lewat petang tadi, satu pesawat pejuang yang dipercayai milik tentera udara Amerika Syarikat terhempas di Iraq akibat ditembak sistem pertahanan udara Iran dengan dipercayai juruterbangnya sempat menyelamatkan diri dengan menggunakan payung terjun. Kini kabilah-kabilah di Iraq sedang mencari juruterbang yang terselamat di kawasan berhampiran terhempasnya pesawat tersebut.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
16 Ramadan 1447H / 6 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 6/3/2026











