Nuzul al-Quran, Badar al-Kubra disambut esok di Kelantan

Perang Badar al-Kubra merupakan antara peristwa yang penting dalam sejarah Islam.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengadakan program Penghayatan Nuzul al-Quran dan Badar al-Kubra peringkat negeri sempena memperingati dua peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada 17 Ramadan.

- Advertisement -

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, penganjuran bagi tahun ke-36 itu akan menampilkan Program Ceramah Penghayatan Nuzul al-Quran dan Badar al-Kubra Peringkat Negeri Kelantan 1447H pada esok, 16 Ramadan bersamaan 6 Mac (Jumaat) di Qaryah Ramadan Tanah Merah, Dataran Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), di sini.

“Majlis akan bermula pada jam 4.45 petang dengan tadarus al-Quran dan diikuti Iftar Perdana, sebelum diteruskan dengan solat Isyak serta Tarawih berjemaah pada jam 8.30 malam,” katanya.

Tambah beliau, acara kemuncak program ialah ceramah khas Penghayatan Nuzul al-Quran dan Badar al-Kubra yang dijangka menarik kehadiran ramai umat Islam dari seluruh negeri.

Beliau berkata, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program berkenaan selain mendengar kupasan mendalam mengenai peristiwa bersejarah itu daripada pimpinan kerajaan negeri.

“Ia bukan sekadar mengimbau sejarah, tetapi juga memberi pengajaran mengenai perancangan strategik, ketaatan kepada pemimpin serta pergantungan sepenuhnya kepada Allah dalam mempertahankan agama,” katanya.

Program Penghayatan Nuzul al-Quran dan Badar al-Kubra telah dijadikan pengisian utama saban tahun pada bulan Ramadan sejak peralihan kepimpinan di Kelantan pada 21 Oktober 1990.

Kedua-dua peristiwa penting dalam Islam  itu selain meraikan penurunan wahyu pertama, ia mengajar perancangan strategik, ketaatan kepada pemimpin dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah dalam perjuangan mempertahankan agama Islam.  – HARAKAHDAILY 5/3/2026

- Advertisement -