Kaum Tionghua juga rakyat Kedah, tiada diskriminasi

- Advertisement -

ALOR SETAR: “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua” menjadi  slogan serta dasar Kerajaan Negeri adalah untuk setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau yang diberi mandat sejak Mei 2020 lalu, bukan hanya untuk orang Islam atau parti PAS sahaja, sebaliknya bertanggungjawab ke atas 2.2 juta rakyat.

Beliau menyatakan peringatan kepada dirinya sendiri bahawa amanah yang dijunjungnya hingga ke hari ini bukan dipertanggungjawabkan ke atas dirinya pada kehidupan di dunia sahaja.

“Sebaliknya sebagai orang Islam, saya berpegang bahawa segala urusan ini perlu saya pikul dengan sehabis baik untuk saya lepas menjawab di hadapan Allah SWT di akhirat kelak,” jelas beliau.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri tidak sekali-kali meminggirkan mana-mana kelompok minoriti, mahupun berbeza ideologi politik dalam menentukan sebarang dasar atau keputusan yang dibuat oleh pihaknya.

Sebaliknya ujar beliau, pihaknya sentiasa berpegang pada prinsip bahawa semua warga negeri ini mempunyai hak sebagaimana termaktub dalam undang-undang dan Perlembagaan untuk dinikmati secara adil dan saksama.

Demikian antara yang diucapkan beliau ketika merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Dewan Besar, Dewan Perhimpunan Cina Kedah, di sini semalam.

“Di Kedah, terdapat seramai 276, 000 warga dari keturunan Tionghua.
Sebagai hamba Tuhan, kita tidak boleh memilih kaum atau warna kulit untuk kita dilahirkan. Yang kita boleh pilih ialah agama atau kepercayaan.
 
“Islam menegah mendiskriminasi warna kulit dan Islam juga tidak memaksa dalam beragama,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Beliau juga memaklumkan, di pejabatnya terdapat tiga Pegawai Khas diamanahkan untuk menjaga urusan berkaitan kaum bukan Melayu, selain Exco Kerajaan Negeri, Wong Chia Tzen.

“Pada hemat saya, keharmonian yang dinikmati ini adalah kerana kita mengutamakan sikap saling menghormati, bertolak ansur dan kemahuan bersama menjaga hubungan baik dalam masyarakat majmuk di negeri ini.
 
“Saya yakin, nikmat ini akan terus dikecapi dan semangat muhibbah dalam kalangan kita akan sentiasa diperkukuhkan,” tambahnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS dan Pengerusi Perikatan Nasional Kedah.

Justeru beliau mengharapkan dengan perpaduan yang dibina akan membawa kemakmuran dan limpahan ekonomi lebih baik berbanding tahun-tahun lalu.

Sungguhpun begitu, semua pihak katanya, perlu bersiap sedia kerana 
2026 adalah tahun yang dikira mencabar terutama dalam sektor ekonomi global.

“Kita perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal supaya situasi sukar yang ada di hadapan dapat diharungi dengan cekap dan tuntas.

“Kekuatan yang diperlukan ini ada pada kuda yang bukan sahaja lasak tetapi berani, pantas, kuat dan mampu bergerak sendiri secara bebas,” katanya dengan mengaitkan kepercayaan masyarakat Tionghua berkenaan Tahun Kuda kali ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam, Wong Chia Tzen dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria.

Juga Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan ADUN Derga, Muhammad Amri Wahab, selain Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang, Zhou Youbin dan Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Dato’ Cheng Lye Hock.

Selain itu majlis tersebut turut disertai pengerusi dan ahli jawatankuasa Pertubuhan Cina seluruh Kedah. – HARAKAHDAILY 1/3/2026

- Advertisement -