Serang balas Iran terhadap AS-Israel pertahankan hak

Gesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ambil tindakan segera tangani pencabulan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Kepulan asap hitam dirakam susulan serangan balas Iran yang melanda pangkalan tentera Amerika Syarikat di Bahrain pada hari ini, 28 Februari 2026.
- Advertisement -

TEHRAN: Kementerian Luar Negeri Republik Islam Iran hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam pencerobohan ketenteraan yang didakwa dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu, menyifatkannya sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

- Advertisement -

Menurut kenyataan berkenaan, serangan berlaku pada pagi hari yang bertepatan dengan sambutan Nowruz serta hari kesepuluh bulan suci Ramadan, menyasarkan beberapa lokasi termasuk infrastruktur pertahanan dan tapak awam di pelbagai bandar di Iran.

Tehran menegaskan tindakan tersebut merupakan pelanggaran jelas terhadap integriti wilayah dan kedaulatan negara itu, selain menyifatkannya sebagai ‘pencerobohan ketenteraan jenayah’.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa serangan berkenaan berlaku ketika Iran dan Amerika Syarikat sedang melalui proses diplomatik. 

“Walaupun menyedari kemungkinan berlakunya pencerobohan baharu, Iran tetap meneruskan rundingan bagi membuktikan komitmennya terhadap sistem antarabangsa dan menafikan sebarang alasan untuk tindakan ketenteraan terhadapnya.

“Iran telah melakukan segala yang diperlukan untuk mencegah peperangan. Kini tiba masanya untuk mempertahankan tanah air dan menghadapi pencerobohan ketenteraan musuh,” menurut kenyataan itu.

Tehran juga menegaskan bahawa angkatan tenteranya akan bertindak balas terhadap sebarang serangan dengan kekuatan penuh.

Menurut kenyataan tersebut, serangan udara oleh AS dan Israel melanggar Perkara 2(4) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang melarang penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah dan kemerdekaan politik sesebuah negara.

Iran turut menegaskan bahawa berdasarkan Perkara 51 piagam sama, negara itu mempunyai hak sah untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan bersenjata dan akan menggunakan segala sumber yang ada bagi menangkis tindakan berkenaan.

Dalam masa sama, Republik Islam itu menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil tindakan segera bagi menangani apa yang disifatkan sebagai pencabulan terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Tehran turut menyeru Setiausaha Agung PBB, Presiden Majlis Keselamatan serta semua negara anggota, khususnya negara serantau dan Islam, anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali serta negara yang komited terhadap keamanan global, supaya mengutuk tindakan pencerobohan tersebut dan mengambil langkah kolektif untuk menanganinya.

Kenyataan itu menegaskan bahawa angkatan tentera Iran tidak akan teragak-agak mempertahankan negara dan memberi amaran bahawa tindak balas yang bakal diambil adalah tegas serta menentukan.

“Sejarah membuktikan rakyat Iran tidak pernah menyerah kalah kepada pencerobohan dan hegemoni asing. 

“Kali ini juga, tindak balas negara Iran akan menjadi tegas dan menentukan,” kata kenyataan tersebut.

- Advertisement -