Dr Sam fokus perubahan, perkukuh PN hadapi PRU

Bukan soal ‘gelombang politik’

- Advertisement -

SERDANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) menegaskan usaha yang dibawa beliau bukan berteraskan sebarang gelombang politik.

Sebaliknya terang beliau, usaha yang dibawa adalah untuk memberi tumpuan kepada perubahan yang lebih baik untuk masyarakat dan negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai pandangan bahawa ramai melihat beliau sebagai wajah teknokrat yang mampu melumpuhkan persepsi gelombang hijau.

- Advertisement -

Menurutnya, pelbagai istilah seperti Gelombang Biru atau Hijau adalah label yang diberikan pihak luar dan bukan ditentukan oleh pihaknya.

“Pada saya, ia bukan berkenaan dengan gelombang. Apa yang kita nak bawa ialah satu perubahan yang lebih baik ke dalam masyarakat.

“Adapun nama-nama semua itu diberikan oleh pihak di luar. Kita tidak menamakan kita gelombang biru, gelombang hijau, gelombang putih, apa sahaja.

“Yang paling penting ialah kita membawa mesej yang jelas iaitu ingin menjadikan Malaysia negara yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu Di Perantauan 2026 di MAEPS, di sini hari ini.

Mengulas pelantikannya sebagai Pengerusi PN yang dilihat sebagai memberi masa depan cerah kepada gabungan itu, beliau berkata fokus utama ketika ini adalah memperkukuhkan organisasi parti berkenaan.

“Pada saya, apa yang paling penting sekarang ini ialah kita memperkukuhkan organisasi Perikatan Nasional terutama memperkukuhkan muafakat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya (Umum (PRU)). Itu yang menjadi keutamaan pada waktu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2026

- Advertisement -