Iran lancar ‘gelombang pertama’ serang balas Israel-AS 

Melanda sasaran pangkalan tentera AS di Bahrain, Qatar dan Kuwait, ledakan kuat di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Kepulan asap tebal menyelubungi Tehran susulan serangan Israel-Amerika Syarikat pada hari ini.
- Advertisement -

TEHRAN: Iran telah melancarkan ‘gelombang pertama’ serangan menggunakan dron dan peluru berpandu menyasarkan Israel dan pengkalan tentera AS di Asia Barat susulan serangan negara haram itu dan Amerika Syarikat (AS) awal pagi ini yang menyebabkan ibu kota,Tehran diselubungi asap tebal, selain melanda sebuah sekolah rendah perempuan di Minab, sebuah bandar di wilayah Hormozgan di selatan Iran, mengorbankan 40 nyawa.

- Advertisement -

Media Iran melaporkan bahawa Pasukan Revolusi Iran (IRGC) dalam kenyataannya berkata, serangan balas itu susulan serangan Israel dan AS terhadap Iran, termasuk berhampiran pejabat Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Media antarabangsa melaporkan serangan balas Iran itu antaranya telah melanda sasaran pangkalan tentera AS di Bahrain, Qatar dan Kuwait, selain ledakan kuat turut dilaporkan di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Laporan juga menyatakan, AS telah meletakkan beberapa unit pesawat pengebom B-52 Stratofortress di pangkalan tentera Al Udeid, Qatar di sempadan Iran, sebelum ia serta pesawat pengebom Northrop B-2 Spirit dikesan terbang di ruang udara Republik Islam itu.

Terdahulu, Iran berikrar akan melancarkan ‘tindak balas keras’ susulan serangan udara bersama oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, selepas beberapa letupan dilaporkan berlaku di Tehran, pada hari ini Sabtu, 28 Februari 2026.

Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran atau ‘Supreme National Security Council’ (SNSC) dalam kenyataan rasmi menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan yang berlaku ‘sekali lagi semasa rundingan’ dengan Washington, sambil menegaskan bahawa “Rrakyat Iran tidak akan tunduk kepada tekanan luar.”

SNSC juga memaklumkan bahawa angkatan tentera Iran telah memulakan langkah balas dan akan terus mengemas kini perkembangan kepada orang ramai.

Sehubungan itu, pihak berkuasa Iran turut memberi amaran bahawa operasi ketenteraan mungkin berlanjutan di Tehran dan bandar-bandar lain.

“Penduduk digesa mengekalkan ketenangan serta, jika mampu, berpindah ke kawasan lebih selamat bagi mengurangkan risiko. Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan keperluan asas mencukupi tanpa gangguan besar terhadap rantaian bekalan. 

“Sekolah dan universiti akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak, bank beroperasi seperti biasa manakala pejabat kerajaan berfungsi pada kapasiti 50 peratus,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu juga, laporan media melaporkan bahawa serangan awal pagi hari ini tersebut dilaporkan sebagai operasi ketenteraan terkoordinasi antara Amerika Syarikat dan Israel yang, menurut pihak Israel, dinamakan sebagai ‘Operation Lion’s Roar’

Operasi berkenaan dilaporkan menyasarkan kemudahan ketenteraan dan infrastruktur berkaitan pertahanan di beberapa lokasi di Iran. 

Beberapa jam selepas letupan dilaporkan di lokasi strategik di Tehran dan bandar lain, SNSC mengeluarkan kenyataan rasmi berikrar tindak balas, diikuti amaran keselamatan kepada penduduk ibu kota dan bandar utama. 

Pada hari sama, AS dan Israel mengesahkan operasi bersama tersebut, manakala dalam tempoh 24 jam pertama Iran mengumumkan langkah balas ketenteraan, institusi pendidikan ditutup, operasi kerajaan dikurangkan dan negara-negara serantau meningkatkan tahap berjaga-jaga.

Ketegangan antara Iran dan Israel telah memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya berhubung program nuklear Tehran serta pengaruh serantau Iran melalui kumpulan proksi di Asia Barat. 

Washington sebelum ini menegaskan komitmennya terhadap keselamatan Israel, manakala Tehran mendedahkan kedua-dua AS dan Israel cuba melemahkan kedaulatan dan keupayaan pertahanannya. 

Serangan terbaharu ini berlaku ketika rundingan berkaitan program nuklear Iran dilaporkan masih berjalan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang masa depan diplomasi antara Tehran dan Washington.

Sehubungan itu, penganalisis geopolitik memberi amaran bahawa tindakan balas langsung antara Iran dan Israel; dengan penglibatan Amerika Syarikat bakal meningkatkan risiko konflik terbuka yang lebih luas di Asia Barat. 

Konflik berpotensi merebak melibatkan sekutu Iran di Lubnan, Syria atau Iraq, sekali gus mencetuskan ketidakstabilan lebih besar. 

Jika Tehran menganggap serangan ini sebagai pengkhianatan diplomatik, ia berkemungkinan mengurangkan komitmen terhadap rundingan nuklear dan meningkatkan aktiviti penggayaan uranium.

Selain itu, kedudukan Iran berhampiran Selat Hormuz, laluan strategik perdagangan minyak dunia menimbulkan kebimbangan terhadap pasaran tenaga global. 

Sebarang gangguan di kawasan tersebut berpotensi melonjakkan harga minyak dan memberi kesan kepada ekonomi antarabangsa, sementara kuasa besar dunia dijangka meningkatkan usaha diplomatik bagi mengelakkan eskalasi lebih besar ketika perkembangan lanjut terus dipantau masyarakat antarabangsa. – HARAKAHDAILY 28/2/2026

- Advertisement -