
ANWAR Ibrahim mencipta rekod sebagai Perdana Menteri yang paling cepat hilang sokongan rakyat kerana ketika beliau berada di blok pembangkang, beliau lantang menabur pelbagai janji manis kononnya beliaulah paling hebat dalam membela rakyat.
Kerajaan terdahulu dikritik tanpa henti. Subsidi itu hak rakyat, kos sara hidup mesti diturunkan dan cukai membebankan rakyat.
Semua kedengaran mudah seolah-olah kunci penyelesaian sudah ada di tangan beliau malah kerajaan terdahulu sering dilabel dengan pelbagai gelaran sinis.
Namun apabila beliau sendiri berada di Putrajaya, naratif berubah sama sekali.
Subsidi yang kononnya ‘hak rakyat’, kini ditarik atas alasan penyasaran. Cukai diperluaskan atas nama reformasi fiskal.
Rasionalisasi menjadi alasan ampuh. B40 dan M40 sangat tertekan dengan peningkatan bebanan hidup.
Statistik yang dikeluarkan oleh Madani mungkin kelihatan terkawal tetapi di pasar, di kedai makan dan di stesen minyak realitinya jauh berbeza.
Ramai rakyat yang terpaksa melakukan dua pekerjaan bukan kerana mahu kaya tetapi untuk meneruskan kelangsungan hidup dan ini tidak berlaku dizaman PM terdahulu.
Anwar perlu sedar bahawa pengundi terbesar bukanlah golongan T20 yang punya pelbagai pelindung kewangan tetapi B40 dan M40 yang hidupnya bergantung kepada setiap ringgit.
B40 dan M40 tidak hidup dengan angka pertumbuhan KDNK.
Mereka hidup dengan harga barang dapur, sewa rumah dan ansuran bulanan
Jika pertumbuhan ekonomi hanya indah pada angka makro dan tidak dirasai rakyat maka ‘reformasi’ yang dilaungkan selama ini mungkin akan direformasikan semula oleh rakyat di peti undi.
Bila beban meningkat, mereka terasa dan bila janji tidak ditepati tentunya mereka ingat.
Rakyat tidak menilai berdasarkan pidato tetapi berdasarkan isi poket.
Jika poket rakyat semakin menipis slogan tidak lagi bermakna.
Politik bukan sekadar tentang siapa paling lantang mengkritik tetapi siapa paling konsisten apabila diberi kuasa.
Sejarah politik Malaysia membuktikan bahawa rakyat tidak menghukum kerana propaganda tetapi kerana tekanan hidup.
Jika keadaan ini berterusan tidak mustahil gabungan kerajaan hari ini akan menerima isyarat keras dalam PRU16.
ANAS SOFFY ABD WAHID
– HARAKAHDAILY 28/2/2026











