875 hari Gaza dibedil, Muslim Care salur bantuan RM11j

Zulkifli Wahijan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas 875 hari Semenanjung Gaza dihujani bedilan bom sejak bermulanya Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, dengan lebih 72,000 penduduknya dilaporkan syahid, sejumlahkira-kira RM11 juta telah dibelanjakan Muslim Care Malaysia bagi membantu rakyat Palestin.

- Advertisement -

Presiden Muslim Care Malaysia, Tuan Zulkifli Wahijan berkata, penderitaan rakyat Gaza tidak seharusnya dilupakan walaupun umat Islam di Malaysia dapat menjalani Ramadan dalam keadaan aman dan selesa.

“Sudah 875 hari saudara kita di Gaza dihujani bom. Dalam tempoh itu lebih 72,000 syahid, 172,000 cedera dan kira-kira 10,000 lagi dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Amal Ramadan Muslim Care Malaysia di Dewan Merak Kayangan, Balai FELDA, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyempurnakan perasmian majlis, barisan kepimpinan Muslim Care Malaysia, para penaja serta tetamu korporat.

Menurut beliau, Muslim Care Malaysia mula menyalurkan bantuan sejak hari keempat konflik tercetus dan sehingga kini bantuan berterusan sudah menjangkau 872 hari.

“Secara purata kami membelanjakan RM15,000 sehari untuk penyediaan makanan, air bersih, khemah, panel solar, pakaian musim sejuk serta pembinaan surau dan sekolah sementara,” ujarnya.

Tambah beliau, keseluruhan perbelanjaan sepanjang lebih dua tahun itu mencecah kira-kira RM11 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib Palestin.

“Antara projek terkini ialah pembinaan 17 masjid dan surau sementara serta sekolah sementara yang boleh menampung kira-kira 200 pelajar pada satu masa,” jelasnya.

Beliau menyatakan, walaupun gencatan senjata pernah diumumkan, serangan ke atas Gaza masih berterusan dan janji membenarkan 600 lori bantuan memasuki Gaza setiap hari tidak ditunaikan sepenuhnya.

“Yang dibenarkan tidak sampai 10 peratus daripada jumlah yang dijanjikan,” katanya.–HARAKAHDAILY 28/2/2026

- Advertisement -