
SAYA memandang serius hantaran seorang Setiausaha Kanan kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor yang secara terbuka mengakui melakukan ‘eksperimen hujah’ dan ‘ragebait’ sehingga menyentuh sensitiviti agama.
Lebih mengecewakan, perkara ini melibatkan seorang penjawat yang berada dalam sistem kerajaan negeri. Setiausaha Kanan kepada Exco yang menguruskan hal ehwal agama di Negeri Selangor bukan sekadar pekerja biasa. Jawatan ini boleh mempengaruhi naratif, polisi dan pemikiran awam. Integriti dan kebijaksanaan mereka mesti disertai adab, tanggungjawab dan kefahaman terhadap realiti masyarakat di Malaysia.
Saya turut mengambil maklum bahawa beliau telah pun meletakkan jawatan, namun ia dilihat masih belum memadai. Tindakan yang mencetuskan kemarahan awam, menyentuh kesucian agama dan menggugat keharmonian masyarakat perlu dinilai dari sudut undang-undang sedia ada.
Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang seperti yang terkandung dalam Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia yang bertujuan menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
Undang-undang ini tidak boleh dilihat digunakan secara selektif kepada pihak yang tidak sehaluan dengan Kerajaan sahaja, tetapi mestilah diguna pakai juga kepada penjawat awam dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sebagaimana perintah Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (An-Nisa’ : 58)
Jika perkara sebegini dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab, mesej yang dihantar kepada rakyat ialah tiada garis sempadan yang jelas dalam menghormati agama dan norma masyarakat. Ia juga akan menambah ketidakpercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara sekaligus mengganggu kestabilan sosial yang kita bina bersama.
Sebagai negeri yang majoriti rakyatnya beragama Islam, isu ini bukan soal tindakan terhadap individu tertentu, sebaliknya ia melibatkan maruah agama dan integriti pentadbiran negeri. Justeru, tindakan yang adil, tegas dan berlandaskan undang-undang amat diperlukan demi memelihara keharmonian serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri.
YB DR MOHD ZAMRI MOHD ZAINULDIN
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
ADN Sungai Burong – HARAKAHDAILY 28/2/2026











