
ALOR SETAR: Pegawai Khas Menteri Besar, Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid menyangkal dakwaan aktivis politik, Liyana Marzuki berhubung isu pembinaan kuil di tanah rizab dalam negeri ini.
Beliau menegaskan bahawa peguam itu telah menuduh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan dakwaan yang salah dan menyimpang daripada fakta sebenar.
Jelasnya, lapan kuil diberikan Sijil Rizab (RC) bukan sebagai ganti kepada kuil-kuil yang dirobohkan, tetapi kerana telah melalui prosedur permohonan sah di sisi undang-undang.
“Jangan tunjuk pandai kalau tak faham hujung pangkal isu. Pandangan sebegitu boleh membawa naratif yang menyimpang daripada realiti yang berlaku,” kata beliau pada kenyataannya, di sini hari ini.
Jelas Ku Muhyi lagi, kuil-kuil yang dirobohkan di Alor Setar dan Kuala Kedah pada 2020 lalu, adalah disebabkan kuil tersebut melanggarkan peraturan dan undang-undang yang sedia ada.
Perkara itu katanya, jelas dan semua pihak sedia maklum sebarang binaan yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang, tindakan wajar diambil selepas proses rundingan tidak berjaya.
“Berbeza dengan lapan kuil yang diberikan RC ini kerana mereka melalui prosedur permohonan yang sah di sisi undang-undang. Bermula dengan penyerahan tanah kepada SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri).
“(Selepas itu) proses semakan, pemilikan RC dan sebagainya. Sebab itulah, lapan kuil itu mendapat pemilikan tanah bukan kerana menggantikan kuil yang dirobohkan,” tambah beliau.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kedah menegaskan, tanah tersebut adalah di bawah bidang kuasa SUK) untuk pemilikan RC kepada proses Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
“Saya tak pasti sama ada pihak yang membuat dakwaan itu, memahami atau tidak konsep Sijil Rizab atau RC itu sedangkan tanah tersebut bukanlah tanah rizab kerajaan sebagaimana yang cuba dilabelkan oleh mereka.
“Itulah, suruh orang ikut undang-undang tapi dia sendiri kenalah faham undang-undang dulu,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 13/2/2026




















