
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemilikan saham oleh Tan Sri Azam Baki.
Menurut beliau, isu pemilikan saham itu dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu disifatkannya sebagai isu integriti negara yang sangat serius.
Beliau berkata, RCI berkenaan perlu dianggotai panel bebas terdiri daripada mantan Ketua Hakim, mantan Peguam Negara, mantan Ketua Polis serta pakar-pakar berkaitan, selain melapor terus kepada Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti bercuti daripada jawatannya sepanjang tempoh siasatan hingga selesai. Ini penting supaya siasatan bebas dan tidak diganggu. Kerajaan Madani perlu segera pulihkan isu integriti ini.
“Kalau setakat nak suruh orang baca laporan dan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, budak pra-sekolah pun boleh baca. Ini bukan isu budak-budak. Ini isu integriti negara!” ujar beliau dalam kenyataan.
Menurut Afnan, isu pemilikan saham seperti dilaporkan Bloomberg menimbulkan persoalan besar berkaitan konflik kepentingan dan keupayaan SPRM untuk kekal bebas sekiranya Ketua Pesuruhjayanya mempunyai kepentingan dalam entiti korporat.
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, dakwaan mengaitkan pemilikan saham itu dengan tekanan terhadap pesaing dalam dunia korporat menjadikan isu berkenaan lebih serius dan perlu disiasat serta diperjelaskan secara menyeluruh.
“SPRM mesti bebas, tidak boleh terikat, tidak boleh ada apa-apa kepentingan dalam mana-mana entiti korporat atau perniagaan! Ini isu integriti. Integriti satu suruhanjaya tertinggi negara yang kena menjaga integriti.
“Suruhanjaya ini kena tunjuk teladan, bukan pegang saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan. Maka, tidak padan dengan hanya satu jawatankuasa khas (siasatan) sahaja ditubuhkan. Apatah lagi apabila ia dianggotai oleh penjawat awam, ianya masih tidak bebas,” katanya.
Isu itu berbangkit susulan laporan Bloomberg mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd setakat 3 Februari tahun lalu.
Difahamkan, nilai semasa saham berkenaan dianggarkan hampir RM800,000, melebihi had ditetapkan dalam pekeliling kerajaan 2024, berdasarkan dokumen syarikat.
Terdahulu, turut dilaporkan bahawa Azam yang pernah diugut akan ditangkap jika Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya, namun kontrak jawatannya disambung tiga kali itu menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang pegangan saham sejak Julai tahun lalu.
Beliau menafikan dakwaan media bahawa masih memiliki saham dalam Awanbiru Technology Berhad atau Velocity Capital Partner Bhd dan menyifatkan tuduhan itu berniat jahat.
Dalam penjelasannya, Azam berkata, pegangan sahamnya sebelum ini dibeli di pasaran saham dan telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.
Iaitu melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS), tanpa melibatkan modal berbayar melebihi had ditetapkan. – HARAKAHDAILY 14/2/2026











