
KUALA LUMPUR: Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff mengingatkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bahawa beliau sepatutnya memberi tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab dalam portfolio kementeriannya.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat itu berkata demikian susulan kenyataan Anthony Loke yang memberi jaminan babi panggang akan tetap ada setiap Tahun Baharu Cina.
“Bila saya baca kenyataan ni, saya rasa pelik. Bila masa Menteri Pengangkutan tambah bidang tugas jaga hal ehwal babi (yang sepatutnya di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan)?
“Sebelum ini dia juga tukang umum keputusan kertas Sijil Pelajaran Malaysia Bahasa Melayu dan Sejarah sahaja perlu diambil oleh pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) (sepatutnya di bawah Kementerian Pendidikan),” soal Nurul Islam.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan tanda tanya sama ada wujud cubaan untuk mengawal Kabinet, sedangkan banyak isu dalam portfolio pengangkutan masih belum diselesaikan.
Beliau berkata, apabila kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan, rakyat menjangkakan jaminan berkaitan kejayaan pemulihan perkhidmatan aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia termasuk jelasnya, rakyat menjangkakan jaminan pengurangan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur serta penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk aspek ‘last mile connectivity’.
“Tengok tengok dia sibuk bab babi panggang. Hmm…… besar betul impak babi kepada Kerajaan Madani sampai semua Menteri tak ada kaitan sibuk nak respon. Menteri berkaitan krik krik kirik…,” tempelaknya.
Terdahulu, Athony Loke dilaporkan media tempatan memberi jaminan bahawa bekalan daging babi di negara ini stabil dan babi panggang akan tetap tersedia bagi jamuan Tahun Baru Cina, sambil menggesa orang ramai tidak terpengaruh laporan tidak disahkan mengenai Selangor.
Isu itu timbul susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenankan penternakan babi di Selangor atas faktor pencemaran dan tanah terhad.
Ia juga susulan tindakan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari terpaksa menghentikan lesen baharu serta mempercepat penutupan ladang sedia ada secara berperingkat. – HARAKAHDAILY 15/2/2026











