
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor digesa supaya tidak terus lepas tangan dan segera mengambil tindakan menyeluruh berhubung isu pencerobohan serta binaan kuil haram yang berlarutan tanpa penyelesaian.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, kegagalan Kerajaan Negeri Selangor menangani isu berkenaan mewajarkan beberapa langkah segera dilaksanakan.
“Sekiranya berlaku kerumitan, dan memerlukan tindakan sivil diambil oleh pemilik tanah ke atas penceroboh, Kerajaan Negeri memberikan bantuan dari segi kos dan khidmat nasihat guaman.
“Mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemantauan segera terhadap binaan kuil haram dalam kawasan tadbir mereka. Mengarahkan PBT menyemak semua aduan-aduan pernah dibuat rakyat atas isu binaan kuil haram.
“Mengarahkan PBT menggunakan kuasa yang ada dibawah undang-undang untuk segera merobohkan binaan kuil haram, sama ada di atas tanah Kerajaan atau tanah persendirian.
“Kerajaan Negeri segera mengkaji segala kuasa yang ada, dan meminda undang-undang yang perlu sekiranya terdapat kelompangan dari segi kuasa penguatkuasaan oleh PBT di atas tanah persendirian. Jangan lepas tangan dan berdalih lagi!” tegasnya dalam satu kenyataan.
Dr Yusfarizal menyifatkan kenyataan Menteri Besar Selangor selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor berhubung isu perobohan kuil haram sebagai mengecewakan dan tidak meredakan keadaan.
Katanya, pencerobohan di atas tanah milik Yayasan Kubra telah berlarutan lama dan pemilik tanah sudah melakukan pelbagai usaha termasuk membuat laporan kepada PBT.
“Kenyataan tersebut seolah-olah menambah beban yang sedia berat kepada pemilik tanah. Menasihatkan agar pemilik tanah melantik peguam dan memulakan tindakan sivil di mahkamah adalah nasihat yang ‘insensitive’ dan langsung tidak praktikal,” tempelaknya.
Yusfarizal berkata, walaupun terdapat pelbagai pandangan undang-undang yang bertentangan, meletakkan tanggungjawab sepenuhnya di bahu pemilik tanah bagi mempertahankan hak mereka adalah langkah songsang.
“Benar ada pandangan bahawa ‘tindakan sendiri’ atau ‘remedy of self-help’ adalah kurang tepat dan berisiko, dan perintah Mahkamah perlu diperolehi, namun di sana ada juga pandangan berdasarkan kes lampau yang diputuskan oleh Raja Azlan Shah pada tahun 1982.
“Kes tersebut mengisyaratkan bahawa pemilik tanah boleh mengambil tindakan terhadap pencerobohan, asal sahaja tidak menggunakan kekerasan melampau.
“Walaupun ada nas undang-undang dan trend semasa yang menunjuk ke arah perintah mahkamah sebagai langkah selamat dalam isu pencerobohan, namun setiap ‘course of action’ harus dianalisis berdasarkan fakta semasa,” bidasnya.
Yusfarizal yang juga Ahli Jawatankuasa Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS berkata, fakta semasa menunjukkan PBT enggan menguatkuasakan undang-undang bagi meruntuhkan binaan haram.
Sebaliknya beliau berpandangan, PBT menyerahkan kembali isu itu kepada pemilik tanah untuk diselesaikan sendiri, disifatkannya sebagai tindakan lepas tangan yang memalukan.
“Walaupun kita faham bahawa bidang kuasa kerajaan secara umumnya adalah ke atas tanah kerajaan, namun masih ada di sana undang-undang yang boleh digunakan untuk membantu pemilik tanah persendirian. Bukan lepas tangan.
“Pemilik tanah yang telah terbeban tidak dapat menggunakan tanahnya tidak seharusnya dicadangkan untuk terus terbeban dengan prosiding Mahkamah pula yang membabitkan kos dan masa. Ia bukan solusi praktikal!
“Tambahan pula, tidak ada satu kenyataan tegas terhadap penceroboh oleh Menteri Besar melainkan menyarankan laporan polis dibuat oleh pemilik tanah. Di manakah keutamaan dan keprihatinan terhadap kesalahan sebenar?” soalnya.
Mengulas perkembangan lain, beliau berkata pembatalan reman terhadap aktivis masyarakat, Tamim Dahri Abdul Razak oleh Mahkamah Tinggi tetap memperlihatkan ketidakseimbangan tindakan kerajaan.
Ia jelas Yusfarizal apabila pihak yang menceroboh belum diambil tindakan, manakala pihak yang mempertahankan hak pula ditangkap.
“Kenyataan susulan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar (Selangor) juga tidak menawarkan apa-apa penyelesaian melainkan untuk ‘control damage’ semata-mata,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, mengarahkan tindakan segera oleh pihak berkuasa tempatan.
Ia menurut beliau termasuk pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) bagi rumah ibadat tidak sah di tanah milik kerajaan negeri.
Bagi rumah ibadat di tanah persendirian katanya, pemilik tanah perlu melantik peguam dan mendapatkan perintah mahkamah sebelum sebarang pengosongan atau perobohan dilakukan, manakala laporan polis perlu dibuat untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) akan bertindak sebagai pengantara antara semua pihak untuk mencari penyelesaian munasabah, dan sekiranya gagal, pemilik tanah disarankan meneruskan proses mahkamah. – HARAKAHDAILY 15/2/2026











