
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak akan menangguhkan Muktamar Tahunan parti itu walaupun berlangsung pada tahun Pilihan Raya Umum (PRU), kata Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad.
“Insya-Allah Muktamar PAS Pusat (akan tetap berlangsung pada) 4-6 September 2026 di Kelantan (sebagaimana dijadualkan). PAS tidak tangguh muktamar sebab tahun PRU. PAS tak kalut,” kata beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau menyatakan demikian dipercayai sebagai reaksi kepada laporan bahawa PAN menangguhkan pemilihan parti tahun ini bagi memberi tumpuan kepada PRU ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Johor serta Sarawak.
Setiausaha Agung PAN, Muhammad Faiz Fadzil berkata, keputusan itu dibuat mengikut perlembagaan parti dan pemilihan akan diadakan selepas urusan pilihan raya selesai tanpa menunggu tempoh maksimum 18 bulan.
Sebelum ini, Umno terlebih dahulu telah beberapa kali menangguhkan pemilihan parti tersebut pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) atas alasan perlu kekuatan sepenuhnya termasuk untuk fokus menghadapi PRU16 tidak lama lagi.
Pada 7 Julai 2025, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata PRU16 tidak mustahil diadakan lebih awal, berikutan jadual padat PRN di Sabah, Melaka dan Johor dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pengerusi Umno Perak itu membayangkan, Parlimen yang sepatutnya tamat pada November 2027 boleh dibubarkan lebih awal dan mungkin diselaraskan dengan PRN Johor bagi menjimatkan masa, tenaga dan kos.
Presiden PAN, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 8 November 2025 lalu turut membayangkan PRU16 dan PRN mungkin diadakan serentak pada 2026, tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Kota Raja itu turut berjenaka bahawa tarikh PRU16 boleh ‘dibaca’ menerusi riak wajah PMX, sambil mengingatkan jentera PAN perlu bersedia dengan kerja lapangan tersusun dan bukannya sekadar slogan.
Selain itu, pada 21 September 2025 lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan mencadangkan PRU16 dijadikan titik mula untuk menyelaras Pilihan raya Parlimen dan DUN di Semenanjung agar diadakan serentak.
Menurut beliau yang juga Menteri Pengangkutan, sekiranya cadangan itu menjadi kenyataan, PRU16 berkemungkinan berlangsung hujung tahun depan (2026) atau pada awal tahun 2027.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, langkah tersebut boleh menjimatkan kos dan memudahkan pengundi, memandangkan jadual pilihan raya negeri kini bercelaru selepas beberapa PRN diadakan berasingan sejak 2021.
Selain itu, media turut melaporkan kemelut ahli keluar parti dihadapi parti-parti politik, termasuk terkini Pemuda PAN mendedahkan hanya satu hingga lima peratus sahaja pengundi Melayu yang menyokong parti tajaan DAP itu.
Ketua Pemuda PAN, Hasbie Muda menegur pemimpin yang tidak aktif di media sosial, sekali gus mencadangkan penubuhan dana jentera Pemuda dan sasaran seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemuda bagi setiap negeri menjelang PRU16.
PAS pula bagaimanapun berterusan menerima sokongan rakyat apabila Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dilapor telah meluluskan tidak kurang daripada 2,000 permohonan keahlian pada setiap bulan.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil memberitahu, kempen ‘PAS Pilihanku’ yang dilancarkan secara rasmi pada 21 Januari 2017, berjaya mendaftarkan lebih 290,000 ahli baharu sehingga akhir 2025.
Jelasnya, sepanjang tempoh 2016 hingga 2020, kempen itu berjaya merekodkan 167,404 ahli baharu dan lebih menarik, daripada jumlah tersebut, seramai 108,686 orang atau 63.7 peratus adalah golongan muda.
Kempen itu menurutnya, telah dijalankan secara sistematik dan berasaskan data, dengan pelbagai insentif, pendekatan kreatif, dan pengurusan tersusun di peringkat pusat, negeri dan wilayah.
Tambahnya, dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dan pembukaan keanggotaan bukan-Islam sebagai Ahli Bersekutu, kempen itu terus mengukuhkan organisasi dan relevan untuk generasi masa depan. – HARAKAHDAILY 15/2/2026











