
KUALA TERENGGANU: Yayasan Terengganu (YT) dan Batik Air menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi membuka laluan kerjaya dalam industri penerbangan serta membangunkan modal insan berkemahiran tinggi melalui latihan yang diiktiraf.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata program Juruteknik Pesawat Berlesen (CAAM Part-66 Category A1) ini khusus untuk anak-anak Terengganu yang berpotensi.
Menurutnya, seramai 10 pelatih dipilih sebagai kumpulan perintis dan akan menjalani pengajian serta latihan di tempat kerja dengan pendedahan mendalam kepada sistem kritikal pesawat, termasuk enjin, struktur pesawat, sistem bahan api, pneumatik dan hidraulik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Batik Air kerana memberi peluang kepada anak-anak Terengganu. Kerjasama seperti ini membolehkan kita menyediakan ilmu dan kemahiran untuk mengail, bukan sekadar memberi ikan,” katanya ketika merasmikan majlis MoA di Wisma Darul Iman, di sini.
Turut hadir Pengurus Bahagian Latihan Kejuruteraan Batik Air, Fahmi Ismail, dan Pengarah YT, Ahmad Farhan Abdul Wahab.
Dalam pada itu, Menteri Besar juga telah membuat panggilan video bersama pelatih untuk meninjau perkembangan mereka secara langsung.
Program tersebut diiktiraf oleh Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) di bawah Part 66 Category A (Ab-initio) dan disertai jaminan peluang pekerjaan oleh Batik Air selepas tamat pengajian.
Keutamaan diberikan kepada anak negeri Terengganu daripada keluarga B40 yang lulus SPM dengan gred minimum C dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta lulus temuduga dan ujian psikometrik.
Kos program dianggarkan RM72,000 seorang ditanggung YT dan RM66,000 seorang oleh Batik Air, merangkumi latihan, peralatan, elaun tambahan, kebajikan dan semua urusan berkaitan latihan.
Inisiatif ini membuka peluang kerjaya sebenar dalam industri penerbangan sambil membina masa depan anak-anak Terengganu dengan kemahiran bertaraf antarabangsa.- HARAKAHDAILY 5/2/2026




















