
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden menyatakan kebimbangan risiko pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar atau pilihan raya PBT akan menyebabkan jurang perbezaan kaum semakin melebar.
“Semua tahu siapa yang majoriti di bandar, siapa yang majoriti di luar bandar. Pilihan raya Datuk Bandar atau pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menyebabkan jurang perbezaan kaum makin melebar,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menegaskan pendirian Pemuda PAS untuk membantah cadangan berkenaan.
Menurutnya, walaupun kajian berkaitan pilihan raya Datuk Bandar dibuat oleh pihak akademik, hakikatnya dasar tetap ditentukan oleh Menteri yang datang daripada DAP.
Beliau menjelaskan bahawa DAP sememangnya memperjuangkan pelaksanaan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala di Kuala Lumpur, PBT diketuai oleh Datuk Bandar.
“Pilihan raya Datuk Bandar seolah-olah seperti pilihan raya PBT. Maka, kajian untuk pilihan raya Datuk Bandar adalah kajian untuk melaksanakan agenda DAP yang diperjuangkan mereka selama ini,” tegasnya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa kajian pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dijalankan oleh ahli akademik UIAM, bukan DAP, dan masih di peringkat awal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan kajian itu tidak melibatkan pelaksanaan dasar atau pindaan undang-undang, selain hasil kajian masih belum diterima.
Sebarang keputusan menurutnya hanya akan dibawa ke Kabinet selepas dapatan penuh kajian diperoleh. – HARAKAHDAILY 5/2/2026











