
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengambil pendekatan berani dengan meletakkan ketidakfahaman agama dan tidak menunaikan solat sebagai indikator jenayah yang perlu diberi perhatian serius.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, langkah tersebut bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya untuk menyedarkan masyarakat bahawa kejahilan agama adalah isu pokok yang perlu ditangani secara menyeluruh.
Mengulas statistik jenayah baru-baru ini oleh Ketua Polis Kelantan, beliau berpandangan pendekatan pencegahan melalui penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi.
“Kita memerlukan pendekatan tarbawi, pendidikan serta pembinaan jiwa berasaskan Al-Quran. Ummah perlu diberi kesedaran untuk kembali kepada penyelesaian Islam sebagai jalan keluar kepada krisis yang sedang melanda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis berkenaan di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, malam tadi.
Sehubungan itu, beliay menyatakan bahawa al-Quran tidak seharusnya difahami sekadar sebagai kitab bacaan, tetapi berperanan membentuk jiwa, membina akhlak dan memandu seluruh aspek kehidupan manusia.
“Justetu, tema ‘Al-Quran Membentuk Sahsiah Mulia’ bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 1447H/2026M amat bertepatan dengan realiti masyarakat yang kini berdepan pelbagai cabaran sosial dan krisis nilai,” ujar beliau.
Menurutnya, ummah kini menghadapi keruntuhan moral, kekeliruan identiti, krisis akhlak serta kehilangan pedoman hidup yang ketara.
“Pelbagai isu sosial yang membimbangkan kini menjadi bualan masyarakat, antaranya jenayah dadah, kecurian, jenayah seksual termasuk rogol serta pelbagai jenayah baharu yang semakin kompleks dan sukar ditangani,” katanya.
Beliau juga menegaskan, jenayah kini tidak lagi mengenal sempadan usia dan dilakukan secara terbuka tanpa rasa bersalah.
“Lebih membimbangkan, ujar beliau lagi, golongan muda kini berhadapan dengan serangan pemikiran yang mengajak kebebasan tanpa batas, menolak nilai agama dan menganggap Islam sebagai kongkongan.
“Hakikatnya, Islam bukan untuk mengongkong, tetapi panduan hidup agar manusia tunduk dan patuh kepada Allah Azza wa Jalla, Tuhan Yang Maha Mencipta.
“Antara kebimbangan terbesar umat Islam hari ini ialah kejahilan terhadap agama, termasuk kegagalan memahami dan menghayati ajaran Islam sehingga mengabaikan ibadah asas seperti solat, yang akhirnya membuka pintu kepada pelbagai kerosakan sosial,” katanya.– HARAKAHDAILY 4/2/2026




















