Belajar digital guna iPad di SMIDI Terengganu

Satiful Bahari Mamat
- Advertisement -

DUNGUN: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) memperkenalkan pembelajaran digital di Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dengan penggunaan iPad sebagai medium pengajaran dan pembelajaran bermula tahun ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, pelaksanaan itu akan dimulakan dengan semua kelas Tingkatan Satu secara berperingkat selaras usaha memperkasa sistem pendidikan Islam berteraskan teknologi.

“Kerajaan negeri hari ini melancarkan Pembelajaran Digital Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) bertujuan meningkatkan akses kepada sumber ilmu yang lebih meluas, sekali gus melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek akademik, rohani dan sahsiah.

“Dunia hari ini ditentukan oleh keupayaan menguasai ilmu, teknologi dan maklumat, justeru pendigitalan pendidikan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembelajaran Digital bertemakan Digital Di Jari, Takwa Di Hati di SMIDI Dungun.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Zahari Sulong dan Pengarah JPINT, Mohd Zaini Mohd Nor.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut memperuntukkan perbelanjaan bagi menaik taraf capaian WiFi di keempat-empat SMIDI selain membekalkan Smart TV serta kemudahan digital kepada guru, khususnya yang mengajar Tingkatan Satu.

Namun katanya, inisiatif berkenaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar tidak sekadar menyediakan kemudahan tanpa memberi impak kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kita tidak mahu iPad ada, Smart TV, WiFi tetapi penggunaannya tidak dimaksimumkan. Guru-guru digalakkan mengikuti kursus dan latihan agar penggunaan teknologi ini benar-benar memberi manfaat kepada proses pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan teknologi dalam pendidikan perlu bergerak seiring dengan pembinaan sahsiah, akhlak serta jati diri pelajar, sejajar dengan peranan SMIDI sebagai institusi pendidikan Islam.

Tambah beliau, tema Digital Di Jari, Takwa Di Hati dipilih sebagai teras pelaksanaan pembelajaran digital bagi memastikan pelajar bukan sahaja celik teknologi, malah memiliki kekuatan iman dan takwa dalam menghadapi cabaran dunia digital.

“Kita maklum bahawa pelajar hari ini adalah Generasi Z, generasi yang lahir dalam era digital. Sejak kecil mereka sudah terdedah kepada telefon pintar dan teknologi,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan, namun dalam dunia digital ini, bukan hanya kebaikan yang tersebar, bahkan unsur negatif juga mudah menular. Musuh-musuh Islam telah lama menggunakan teknologi untuk menyesatkan manusia.

“Oleh sebab itu, tema utama pembelajaran digital ini bukan sekadar teknologi, tetapi pembinaan jati diri, iman dan takwa agar pelajar mampu menjaga diri dan memanfaatkan teknologi dengan cara yang betul,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2026

- Advertisement -