
SHAH ALAM: Pemilihan acara utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) perlu mencerminkan jati diri sebenar Malaysia dan tidak sekadar meniru model pesta jalanan luar negara yang tidak sesuai dengan budaya tempatan.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, sebarang acara berskala besar yang membawa imej negara perlulah berteraskan nilai, adab dan warisan ketimuran.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan penganjuran Water Musical Festival di Bukit Bintang yang dilihat cuba mengadaptasi konsep hiburan jalanan terbuka yang asing daripada norma masyarakat Malaysia.
“Bantahan ini bukan penolakan terhadap VM2026, malah kami menyokong aspirasi memperkukuh sektor pelancongan. Namun, pemilihan acara utama mestilah mencerminkan jati diri Malaysia.
“Kita tidak seharusnya sekadar meniru model pesta jalanan luar negara yang tidak semestinya sesuai dengan konteks tempatan, apatah lagi Malaysia merupakan sebuah negara dengan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sukri menegaskan bahawa kekuatan Malaysia di mata pelancong asing bukan terletak pada penganjuran pesta hiburan bebas atau suasana yang bising dan sensasi, sebaliknya pada keunikan budaya dan keharmonian masyarakatnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan mengambil contoh negara-negara maju yang berjaya memartabatkan pelancongan tanpa menggadaikan prinsip budaya mereka.
“Lihatlah Jepun yang mempertahankan adab dan disiplin; Korea Selatan yang mempromosikan identiti sendiri secara strategi; serta Maghribi dan Turkiye yang menjadikan warisan Islam sebagai tarikan utama.
“Mereka tidak mengorbankan identiti demi menarik pelancong, sebaliknya identiti itulah yang menjadi magnet pelancongan. Jika identiti dikorbankan, kita bukan sahaja kehilangan jati diri, tetapi akhirnya kehilangan keunikan yang membuat dunia ingin datang ke negara ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai Water Musical Festival, beliau berkata konsep festival air terbuka dan hiburan jalanan di kawasan tumpuan awam seperti Bukit Bintang perlu dinilai semula kerana risiko percampuran bebas dan suasana pesta yang melampaui batas adab.
Katanya, acara pelancongan sepatutnya menonjolkan perayaan berteraskan nilai tempatan seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Gawai dan Tadau Kaamatan yang lebih mesra keluarga dan komuniti.
“Pendekatan pelancongan tidak seharusnya dilihat hanya melalui lensa hiburan semata-mata, tetapi mesti berpaksikan kelestarian, kesejahteraan masyarakat dan imej negara yang bermaruah,” tegas beliau.
Justeru, pihaknya menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menilai semula penganjuran festival tersebut dan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh bagi memastikan acara VM2026 benar-benar mengangkat wajah Malaysia yang sebenar.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengumumkan penganjuran Water Musical Festival selama tiga hari bermula 1 Mei 2026 di Bukit Bintang, yang melibatkan penutupan jalan di kawasan pusat perniagaan tersebut. – HARAKAHDAILY 28/1/2026











