
UNITED KINGDOM: Sebuah insiden mengejutkan di lebuh raya M25, di sini mencetus tanda tanya apabila tayar hadapan sebuah Ferrari Purosangue milik bintang Tottenham Hotspur, Randal Kolo Muani, dilaporkan meletup secara tiba-tiba ketika kenderaan itu sedang bergerak.
Kejadian berlaku ketika penyerang berusia 27 tahun itu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Stansted selepas latihan pada Selasa, hanya beberapa jam sebelum pasukannya berlepas ke Jerman bagi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Eintracht Frankfurt.
Letupan tayar berkenaan menyebabkan SUV mewah bernilai lebih £400,000 itu hilang kawalan dan remuk di tepi lebuh raya, sekali gus mencetus kegemparan di lokasi kejadian.
Rakan sepasukan Spurs, Wilson Odobert, yang memandu tidak jauh di belakang Kolo Muani, segera berhenti bagi memastikan keadaan rakan sepasukannya itu selamat, ketika suasana cemas menyelubungi lebuh raya utama tersebut.
Imej dari tempat kejadian menunjukkan bahagian hadapan Ferrari berwarna hitam itu mengalami kerosakan teruk, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bagaimana tayar sebuah kenderaan berprestasi tinggi boleh meletup secara mengejut ketika berada di laluan berkelajuan tinggi.
Dalam pada itu Pengurus Tottenham, Thomas Frank, mengesahkan kedua-dua pemain tidak cedera dan menyifatkan kejadian itu sebagai kemalangan kecil, namun mengakui insiden tersebut menyebabkan mereka tiba lewat ke Jerman.
Skuad Spurs berlepas lebih awal tanpa kedua-dua pemain berkenaan, namun mereka dijangka menyertai pasukan kemudian bagi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Eintracht Frankfurt.
Kejadian ini berlaku ketika Spurs sedang berdepan krisis kecederaan serius, dengan hanya 11 pemain luar senior tersedia, menjadikan insiden berkenaan semakin menambah tekanan menjelang aksi penting Eropah itu. – HARAKAHDAILY 28/2/202











