Lesen mendulang emas bukan untuk bebas sesuka hati

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa pengenalan lesen mendulang emas bukan bertujuan memberi kebebasan mutlak kepada pemegang lesen, sebaliknya sebagai mekanisme kawalan bagi memastikan aktiviti tersebut dijalankan secara teratur, mematuhi peraturan serta tidak menjejaskan alam sekitar.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah itu dilaksanakan buat pertama kali bagi memberi peluang kepada rakyat yang tidak berkemampuan menjalankan aktiviti ekonomi secara sah dan terkawal.

- Advertisement -

“Apabila lesen dikeluarkan, ia bermaksud pengiktirafan terhadap kesanggupan pemohon untuk mematuhi arahan dan peraturan. Ia bukan lesen untuk buat apa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat dwi-mingguan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Menurut beliau, lesen mendulang emas itu boleh diumpamakan seperti lesen memandu yang hanya diberikan selepas pemohon memahami peraturan serta memberi komitmen untuk mematuhinya.

“Bukan bermaksud bila ada lesen, dia boleh langgar peraturan. Lesen itu diberi atas komitmen untuk patuh,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri perlu mengimbangi antara keperluan memberi peluang kepada rakyat dengan tanggungjawab memelihara sungai, alam sekitar dan keselamatan awam, justeru pelbagai pandangan serta rujukan teknikal diambil sebelum dasar tersebut dilaksanakan.

Beliau menegaskan, kawasan mendulang emas yang digazetkan adalah tanah kerajaan dan pemegang lesen hanya dibenarkan menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan, manakala sebarang pencerobohan ke atas tanah persendirian tetap dilarang.

“Kalau lalu atas tanah kerajaan, sesiapa pun boleh lalu. Tetapi jika masuk tanah orang, itu menceroboh,” katanya bagi menjelaskan salah faham dalam kalangan penduduk.

Beliau turut menjelaskan bahawa lesen mendulang emas tidak dikeluarkan dalam bentuk seperti geran tanah kerana ia melibatkan radius kawasan sehingga dua kilometer serta mengandungi pelbagai syarat teknikal.

“Lesen ini melibatkan kawasan, had operasi dan peraturan tertentu. Dokumennya perlu terperinci dan bersaiz besar supaya maklumat jelas serta tidak disalah tafsir,” ujarnya.
Menurut beliau, kelulusan lesen melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran serta penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Antara syarat ditetapkan termasuk had kedalaman penggalian, kewajipan zon penampan kiri dan kanan sungai serta pematuhan kepada peruntukan enakmen dan akta berkaitan bagi mengelakkan pencemaran serta kerosakan tebing sungai,” katanya.

Beliau jugamemaklumkan bahawa lebih 300 permohonan lesen telah diluluskan setakat ini, manakala kira-kira 350 permohonan direkodkan dalam tempoh dua minggu lalu, tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan.

“Ini masih peringkat permulaan. Kerajaan negeri akan memantau pelaksanaan dan menambah baik dasar ini dari semasa ke semasa,” katanya.– HARAKAHDAILY 28/1/2026

- Advertisement -