Peranan penting ibu bapa didik anak-anak di rumah

Wan Roslan ketika mengadakan kunjungan di Sekolah Maahad Amir Indera Petra, Kota Bharu.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik dan memantau anak-anak khususnya ketika berada di rumah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

- Advertisement -

Menurutnya, ketika berada di sekolah para pelajar sentiasa berada di bawah jagaan dan pemantauan guru, namun apabila berada di rumah terutamanya pada hujung minggu, tanggungjawab tersebut terletak sepenuhnya di bahu ibu bapa dan keluarga.

“Ibu bapa tidak wajar menyerahkan tanggungjawab pendidikan sepenuhnya kepada pihak sekolah, sebaliknya perlu memantau pergaulan, aktiviti serta penggunaan masa anak-anak ketika berada di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan ke Sekolah Maahad Amir Indera Petra sempena hari pertama sesi persekolahan bagi tahun 2026, di sini.

Kunjungan tersebut turut disertai Pengarah serta beberapa pengurusan tertinggi Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi meninjau persiapan sekolah di samping menyantuni warga pendidik dan para pelajar yang memulakan sesi pembelajaran.

Dalam lawatan itu, Wan Roslan turut bertanya khabar pelajar tingkatan satu, tingkatan empat dan tingkatan lima serta menyampaikan kata-kata semangat agar mereka terus berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

Beliau menegaskan kepentingan menjaga akhlak, mematuhi peraturan sekolah serta membentuk disiplin diri yang baik sebagai asas kepada pembentukan sahsiah dan kejayaan masa depan.

“Pelajar perlu memanfaatkan peluang pembelajaran dengan sebaiknya, menjaga adab serta membina disiplin diri demi masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Menurutnya, cabaran semasa yang semakin kompleks menuntut kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan institusi pendidikan bagi melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berakhlak mulia serta bertanggungjawab.

Beliau berharap usaha bersepadu semua pihak akan terus diperkasakan demi kecemerlangan pendidikan Islam di Kelantan. – HARAKAHDAILY 12/1/2026

- Advertisement -