
KOTA BHARU: Kerajaan Pusat digesa segera membina jambatan titi gantung yang roboh di Kampung Chatel, Lata Rek, di sini sehingga menyebabkan puluhan penduduk terjatuh ke dalam sungai baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, ia merupakan laluan utama penduduk ke kawasan kampung dan kebun.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan telah mengarahkan supaya peruntukan disediakan segera bagi menggantikan segera titi gantung yang runtuh, susulan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan memaklumkan arahan berkenaan bagi menjamin keselamatan dan kemudahan rakyat.
“Kelewatan pembaikan jambatan tersebut menyebabkan penduduk berdepan kesukaran untuk menguruskan kehidupan harian, lebih-lebih lagi sesi persekolahan sudah bermula,” katanya yang melawat lokasi kejadian di Lata Rek dan menziarahi mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan pada minggu lepas.
Turut hadir Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.
Terdahulu, pada awal Januari lepas media melaporkan sebuah titi gantung yang dilalui tetamu ke majlis perkahwinan tiba-tiba runtuh menyebabkan lebih 50 mangsa terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek.
Insiden dilapor berlaku kira-kira jam 2 petang itu ketika rombongan tetamu pengantin lelaki melalui titi berkenaan menyebabkan seorang mangsa, Nazira Abdullah mengalami kecederaan serius apabila mengalami patah kaki dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas respons segera terhadap isu runtuhan jambatan gantung yang berlaku 1 Januari lalu.
Bagaimanapun beliau menjelaskan terdapat kekeliruan melibatkan nama kampung dalam kenyataan awal, di mana jambatan yang runtuh sebenarnya terletak di Kampung Chatel, Lata Rek di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.
Menurutnya juga, beberapa kampung di DUN Mengkebang turut memerlukan pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan jambatan lama yang sering ditenggelami banjir.
“Kampung terbabit termasuk Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Batu Pagar yang terletak di Chenulang.
“Sudah beberapa kali isu Jambatan Pasir Jering dibangkitkan dan agensi berkaitan telah turun melakukan lawatan tapak minggu lalu dan berharap tahun 2026 bakal membawa khabar gembira kepada penduduk terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/01/2026











