
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor disifatkan tidak mempunyai kredibiliti untuk menjanjikan pengurusan ladang ternakan babi moden berskala besar, memandangkan isu-isu terdahulu seperti kes di Putra Heights pun masih gagal diselesaikan dengan tuntas.
Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Selangor, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, rakyat sukar mempercayai jaminan kerajaan negeri kononnya pemindahan ladang babi ke kawasan baharu akan menggunakan sistem tertutup dan sifar pelepasan (zero discharge).
Beliau membangkitkan persoalan bagaimana kerajaan negeri boleh memberi jaminan baharu sedangkan isu penguatkuasaan sedia ada pun masih lemah, termasuk keberadaan kilang-kilang haram yang bersepah di negeri itu.
“Janji untuk ‘closed system with zero’ discharge ini sukar untuk dipercayai.
“Kes Putra Heights pun boleh diluluskan Kebenaran Merancang (KM) dan permit korekan kepada syarikat yang sedang dalam tindakan tatatertib, malah kilang haram pun masih bersepah di Selangor sampai sekarang tak selesai.
“Sudahlah dengan janji-janji manis korang,” katanya dalam satu hantaran di laman facebooknya.
Beliau mengulas titah dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai cadangan kerajaan negeri membenarkan penternakan babi berskala besar di Kuala Langat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Menurut Nurul Islam, ini merupakan teguran kali ketiga baginda kepada kerajaan negeri selepas isu banjir dan sampah, yang membuktikan kegagalan pihak pentadbiran menguruskan negeri maju itu dengan baik.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong titah Sultan Selangor agar wakil rakyat merasai sendiri kesusahan rakyat dengan tinggal di kawasan yang dicadangkan itu.
“Saya setuju Menteri Besar Selangor dan Exco berkaitan pindah duduk sebulan di kawasan ladang babi itu. Guna air sungai sekitar situ dan hirup udara bau kotoran setiap pagi, baru mereka faham denyut nadi rakyat dan tidak terlalu eksklusif,” ujarnya.
Beliau turut meluahkan kebimbangan bahawa pemusatan ladang tersebut bukan sekadar untuk keperluan domestik, tetapi turut menyasarkan eksport ke luar negara yang hanya menguntungkan penternak, manakala rakyat majoriti Melayu Islam di Kuala Langat dan Hulu Selangor terpaksa menanggung kesan pencemaran.
Justeru, beliau mendesak Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari supaya tidak tunduk kepada tekanan politik tertentu dan menggunakan kuasanya untuk bertindak tegas.
“Antara cadangan yang dikemukakan termasuklah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggempur dan menutup ladang ternakan haram, mengehadkan jumlah ternakan hanya untuk keperluan dalam negeri sahaja, serta menggubal undang-undang penjara bagi pesalah pencemaran alam sekitar.
“Gunakan kuasa anda sebelum anda hilang kuasa. Jangan takut dengan parti politik tertentu kerana anda mempunyai sokongan kuat dari Sultan Selangor,” katanya lagi.- HARAKAHDAILY 12/1/2026











