Sokongan padu rakyat kepada MAIS amat penting

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sokongan padu rakyat kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) amat penting demi mempertahankan kesucian agama Islam daripada sebarang ancaman luar, termasuk budaya songsang.

Ia susulan MAIS dilihat sebagai sebuah institusi yang sentiasa cakna dan komited dalam mempertahankan isu serta kesucian umat Islam di negeri ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, beliau berharap agar umat Islam di Selangor dapat bersatu bersama-sama MAIS untuk mempertahankan isu-isu kesucian agama Islam, termasuklah ancaman budaya-budaya songsang seperti LGBT.

​”Terima kasih MAIS atas kenyataan yang tegas tentang isu Glamping With Pride yang menggusarkan kita,” katanya..

Menurut beliau, cabaran yang dihadapi di Selangor agak berbeza berbanding negeri-negeri lain memandangkan faktor kerencaman rakyat serta kepesatan pembangunan perbandaran.

“Institusi agama sering berdepan dengan pelbagai cabaran perundangan yang menggugat bidang kuasa negeri.

​”Sebagaimana yang kita tahu, kes cabaran kuasa gubalan negeri terhadap jenayah syariah dalam kes Iki Putra telah berakhir dengan pembatalan jenayah liwat,” tegasnya.

Tambah Yusfarizal, begitu juga kes cabaran fatwa pluralisme dan liberalisme melibatkan SIS Forum (Malaysia) Berhad yang berakhir dengan pengeluaran nama SIS daripada fatwa tersebut; yang mana beliau sendiri merupakan peguam mewakili MAIS dalam kes tersebut.

​Terdahulu, Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin menegaskan pihaknya menentang keras sebarang bentuk aktiviti atau program yang bertujuan mempromosi, menyokong, dan menormalisasikan gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

​MAIS turut memandang serius laporan media berkaitan penganjuran program membabitkan komuniti berkenaan yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan fitrah kejadian manusia.

​Sebelum ini, HarakahDaily melaporkan mengenai satu program yang tular menerusi poster dan dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 18 Januari ini di Hulu Langat.

​Penganjuran program tersebut dilihat sebagai satu usaha menormalisasikan ideologi gender yang jelas bercanggah dengan nilai agama, budaya serta kerangka perundangan negara. – HARAKAHDAILY 12/1/2026

- Advertisement -