Pemuda Umno perlu sedarkan pemimpin ancaman nyata DAP

- Advertisement -

KUANTAN: Pemuda Umno perlu terus vokal dan menekan kepimpinan parti itu untuk kembali ke landasan perjuangan asal dan menyedari bahawa DAP adalah ancaman nyata kepada negara dan umat Islam.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Aireroshairi Roslan memuji keberanian Pemuda Umno menegur kepimpinan mereka mengenai bahana DAP, serta menghargai pendirian menyuarakan kepentingan penyatuan ummah.

- Advertisement -

Katanya, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh dilihat terus konsisten meskipun menerima kritikan, selari pendirian PAS bahawa usaha penyatuan adalah keperluan mendesak, bukan slogan politik.

Menurut beliau, reaksi negatif pimpinan DAP terhadap isu berkenaan membuktikan parti itu gerun dengan kesatuan politik Melayu-Islam, sekali gus menyifatkan keadaan itu sebagai isyarat bahawa perjuangan tersebut berada pada landasan tepat.

“Rekod DAP sejak sekian lama jelas menunjukkan wajah sebenar. Mereka cadang PM (Perdana Menteri) bukan Melayu, lantik pakar bukan Islam dalam jawatankuasa syariah, hapus perkataan agama dalam kad pengenalan, sokong hak murtad dan buka kedutaan di Israel, campur urusan zakat dan undang-undang Islam.

“Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin pernah kata tindakan DAP akan buka mata Umno. Malangnya, kepimpinan tertinggi Umno masih memuji DAP walaupun ahli sendiri dah pening lalat dengan sikap mereka.

“Seperti kata Timbalan Presiden PAS, Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, DAP tak pernah diam dari campuri urusan Islam kenyataan mereka bukan pandangan peribadi tapi agenda parti sebenar,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Pada masa sama beliau berkata, PAS Pahang meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyatakan lebih mudah berurusan dengan DAP berbanding MCA.

“Sebagai Pengerusi BN Pahang, apakah mesej yang beliau cuba sampaikan? Adakah ini bermakna kepimpinan Umno Pahang lebih selesa dengan parti yang terang-terangan mencabar kedudukan Islam berbanding rakan komponen sesama BN?

“Kenyataan ini bukan sahaja menghina MCA, malah membuka mata rakyat Pahang bahawa kepimpinan Umno Negeri sanggup memuji DAP parti yang rekodnya penuh dengan tindakan mencabar sensitiviti Islam,” katanya.

Sehubungan itu, Aireroshairi berkata, PAS menyeru semua pihak yang memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu agar kembali memperkukuh agenda penyatuan ummah.

“Politik bukan untuk kuasa sempit, tetapi pertahankan agama, bangsa dan negara. Buang yang keruh, ambil yang jernih kesatuan Melayu Islam adalah keutamaan.

“Kepada Umno, pintu penyatuan ummah masih terbuka. Muafakat Nasional tidak gagal, ia ditinggalkan mereka yang pilih kuasa berbanding prinsip,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/1/2026

- Advertisement -