Cukai hasil beri pembangunan, kebajikan rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau premis yang melanggar permit syarat kategori, mengikut undang-undang ditetapkan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri mengalami kerugian hasil akibat cukai yang dibayar tidak selaras dengan syarat tanah dan cukai dikenakan

- Advertisement -

“Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius dan wajar dititikberatkan oleh semua pihak. Ada pihak yang menggunakan tanah pertanian untuk mendirikan bangunan dan menjalankan perniagaan tetapi membayar cukai tanah pertanian,” jelasnya.

Perkara itu ditegaskan beliau ketika ditemui media selepas merasmikan program Amanat Tahun Baharu, Pentadbiran Tanah Negeri Kedah 2026, di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Justeru katanya, mana-mana pihak yang melanggar syarat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 127 hingga Seksyen 129 dan seterusnya boleh dilucut haknya.

“Undang-undang kata macam tu, jangan pula kata Kerajaan Negeri kejam pula, dah undang-undang begitu,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Sehubungan itu ujarnya, pemilik bangunan, premis perniagaan, industri dan lain-lain, yang terletak di tanah bersyarat seperti aktiviti berkenaan perlu memohon permit kepada Pejabat Tanah dan Galian terlebih dahulu.

Seperkara lagi, Sanusi juga mengingatkan kepada pemilik tanah agar membayar cukai tanah masing-masing sebelum 31 Mei 2026 di mana buat masa ini, jumlah tunggakan cukai tanah dan cukai petak adalah RM103,922, 749.33.

“Sehubungan itu, saya menyeru supaya rakyat cakna akan pembayaran cukai tanah masing-masing. Pembayaran cukai tanah ini akan menggalakkan lagi hasil kepada negeri untuk tujuan pembangunan dan juga untuk kebajikan rakyat,” kata beliau lagi.

Pada kesempatan itu, Menteri Besar, sekali lagi mengingatkan orang ramai agar jangan membeli atau menjual tanah lot-lot lidi untuk mengelak implikasi serta risiko pada masa akan datang.

“Isu lot lidi ini tidak pernah selesai sejak sekian lamanya. Pembelian lot lidi ini tiada jaminan bagi urusan pindah milik mahupun pendaftaran tanah,” tegasnya.

Selain itu kata beliau, penjualan tanah secara lot lidi ini bukan sahaja melanggar undang-undang Kanun Tanah Negara, tetapi juga Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Justeru kepada rakyat negeri ini yang merasa kurang jelas akan sesuatu transaksi pembelian tanah, beliau menyarankan agar merujuk terlebih dahulu kepada pejabat tanah yang berdekatan. – HARAKAHDAILY 12/1/2026

- Advertisement -