
QUITO, Ecuador: Lima kepala manusia ditemui tergantung pada tali di pantai di barat daya Ecuador, kata polis pada hari Ahad, ketika negara itu terhuyung-hayang akibat gelombang keganasan yang berkaitan dengan pengedaran dadah.
Imej yang diterbitkan oleh saluran media Ecuador menunjukkan kejadian berdarah itu yang menunjukkan di sebelah kepala-kepala mangsa terdapat papan tanda amaran yang ditujukan kepada pemeras ugut nelayan di pelabuhan perikanan kecil Puerto Lopez, yang terkenal sebagai destinasi aktiviti memerhati ikan paus.
Satu laporan polis mengaitkan kejadian yang menyaksikan lima kepala mangsa berkenaan diikat dengan tali pada tiang kayu di pantai Puerto Lopez, dengan konflik antara kumpulan jenayah.
Rangkaian pengedaran dadah yang mempunyai kaitan dengan kartel transnasional aktif di kawasan itu dan telah menggunakan nelayan dan bot kecil mereka untuk aktiviti haram mereka, menurut pihak berkuasa.
Pertikaian untuk wilayah dan kawalan laluan pengedaran dadah telah mencetuskan episod keganasan di seluruh wilayah Manabi, di mana Puerto Lopez terletak.
Ecuador kini menjadi hab utama bagi pemerdagangan dadah antarabangsa mengikut kedudukannya yang terletak di antara dua negara pengeluar kokain, iaitu Peru dan Colombia.
Polis pada hari Sabtu berkata bahawa mereka telah menjalankan operasi kawalan dan pengawasan di Puerto Lopez di tengah-tengah keadaan darurat yang sedang dikuatkuasakan di sembilan daripada 24 wilayah negara Andean itu, termasuk Manabi.
Terdahulu Presiden Ecuador, Daniel Noboa sebelum ini telah melancarkan kempen bersenjata terhadap kumpulan kongsi gelap, namun aktiviti ketenteraan yang dijalankan selama dua tahun setakat ini gagal membendung pertumpahan darah di negara itu.
Sementara pada Disember tahun lalu, sekurang-kurangnya sembilan individu termasuk seorang bayi maut dalam keganasan di pantai yang sama, yang menurut pihak berkuasa ada kaitan dengan pertempuran antara geng tempatan.
Menurut badan Pemantau Jenayah Terancang, pada tahun 2025 Ecuador mencatat rekod kadar pembunuhan tertinggi iaitu 52 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.











