PUM sokong MAIS tegas tolak agenda normalisasi LGBT

Dr Luqman Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menolak sebarang penganjuran program melibatkan atau mempromosikan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dilaporkan akan diadakan di Hulu Langat.

- Advertisement -

Yang Di-Pertua PUM, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, sebarang usaha menormalisasikan budaya LGBT adalah jelas bercanggah dengan ajaran Islam, bertentangan dengan nilai moral dan budaya masyarakat Malaysia serta tidak selari dengan kerangka undang-undang sedia ada.

“PUM menyeru semua pihak agar tidak membenarkan atau menyokong sebarang aktiviti yang boleh membawa kepada normalisasi gaya hidup songsang ini, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, PUM menyatakan pihaknya menyokong pendekatan nasihat dan pemulihan berteraskan ajaran Islam kepada individu yang terlibat agar mereka dapat kembali kepada fitrah yang sebenar.

“PUM akan terus komited bekerjasama dengan institusi agama dan pihak berkuasa bagi memelihara kesucian agama Islam serta keharmonian masyarakat di negara ini,” tegasnya.

Terdahulu media tempatan melaporkan, MAIS mengingatkan umat Islam agar tidak menyertai, menyokong atau mempromosikan sebarang aktiviti yang menormalisasikan budaya LGBT kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam, undang-undang dan norma masyarakat.

Pengerusi MAIS, Senator Datuk Salehuddin Saidin menegaskan pendiriannya menentang keras sebarang usaha mempromosi gaya hidup songsang serta menyeru umat Islam berpegang teguh kepada ajaran agama dan tidak terpengaruh dengan agenda tersebut.

Dalam masa sama, MAIS menggalakkan individu terlibat kembali kepada fitrah melalui program pemulihan serta bekerjasama dengan JAIS dan agensi kerajaan bagi mencegah penyebaran budaya LGBT di Selangor.

Sebelum ini media turut melaporkan tindakan kumpulan terbabit yang berhasrat meneruskan program Glamping With Pride di Hulu Langat pada hujung minggu depan meskipun mendapat bantahan pelbagai pihak. – HARAKAHDAILY 12/1/2026

- Advertisement -