
KOTA BHARU: Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan penguatkuasaan pindaan undang-undang berkaitan kebersihan awam kepada semua lapisan masyarakat bermula 1 Januari 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Hilmi Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan masyarakat serta pengalaman penguatkuasaan sepanjang lebih 27 tahun lalu, khususnya melibatkan isu kebersihan dan disiplin awam.
“Pindaan Akta 672 di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melibatkan peanambahbaikan terhadap kaedah penguatkuasaan serta bentuk hukuman yang lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan Tahun 2026 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebelum ini tindakan lebih tertumpu kepada pengeluaran saman, namun pendekatan baharu memberi penekanan kepada pendakwaan secara lebih menyeluruh, terutama terhadap pesalah berulang.
“Proses penguatkuasaan akan melalui prosedur lengkap termasuk kertas siasatan, pertuduhan, pendakwaan dan perbicaraan di Mahkamah Majistret,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, hukuman yang boleh dikenakan termasuk khidmat masyarakat selama 12 jam ke atas pesalah yang disabitkan kesalahan, tertakluk kepada keputusan mahkamah.
“Pelaksanaan hukuman itu juga perlu diputuskan oleh Mahkamah Majistret selepas pesalah dibawa ke hadapan mahkamah mengikut saluran perundangan yang ditetapkan,” tegasnya.
Tambah beliau, penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara seragam di semua negeri oleh pihak berkuasa tempatan di bawah KPKT, selaras dengan usaha memperkasakan tahap kebersihan dan imej negara.
“Ini bukan lagi pendekatan nasihat semata-mata, sebaliknya tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas demi kepentingan masyarakat dan kebersihan awam.
“Langkah tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai serta mengurangkan kesalahan berkaitan kebersihan secara berterusan,” katanya.
Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 merupakan undang undang yang digubal untuk mengawal selia pengurusan sisa pepejal (seperti sampah) dan kerja kerja pembersihan di tempat awam, serta menetapkan cara penguatkuasaan yang seragam di seluruh negara – HARAKAHDAILY 12/1/2026











