MB umum SADA lancar program Subsidi Air Asnaf

Manfaat kepada golongan kurang berkemampuan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak 1,000 pemilik akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) dari kalangan kurang berkemampuan akan mendapat manfaat melalui program Subsidi Air Asnaf yang dilancarkan hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, melalui program tersebut, pengguna terlibat akan dikecualikan bayaran sebanyak 20 meter padu pertama.

- Advertisement -

“Program Subsidi Air Asnaf ini dilaksanakan atas inisiatif SADA sendiri untuk 1,000 akaun bermula tahun ini, 2026, dengan anggaran peruntukan sebanyak RM200,000 setahun.

“Walaupun peruntukan untuk program ini tidaklah mencecah berjuta-juta ringgit tetapi SADA bertindak atas kemampuan serta keupayaan yang mereka ada. Jumlah akaun yang terlibat akan bertambah pada masa akan datang,” jelas beliau.

Sanusi berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Penjawat Awam Kakitangan Kerajaan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Tambah beliau, walaupun program seumpama itu boleh dijadikan populis dalam politik tetapi pihaknya tidak berhajat untuk mengambil kesempatan.

Ujarnya, adalah lebih baik agensi mahupun jabatan mempertimbangkan apa yang terbaik untuk mereka laksanakan demi kebaikan orang ramai.

“Bila kita tidak menekan mereka (sektor awam) dengan polisi populis, mereka sendiri boleh merangka program yang ingin serta mampu laksanakan.

“Bagi saya, pendekatan ini lebih baik. Agensi tidak tertekan dan tidak menanggung hutang,” tegas beliau yang juga merupakan Pengerusi SADA.

Sebelum ini katanya, SADA menanggung hutang daripada polisi lama untuk populis mendapatkan populariti, walaupun dalam keadaan syarikat tersebut tidak mempunyai keupayaan.

Berikutan itu, kesannya kata beliau, menyebabkan syarikat air tersebut menanggung hutang hampir RM15 juta, apabila dasar sedemikian dilaksanakan.

“Hari ini kita ada kemampuan. SADA mampu laksanakan sendiri. Saya ucap tahniah kepada SADA,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 7/1/2026

- Advertisement -