
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal bukanlah sesuatu yang luar biasa atau luar jangka, memandangkan realiti politik negara sejak dua dekad lalu.
Beliau berkata, semua Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berundur pada tahun 2003 tidak pernah mentadbir negara melebihi dua penggal.
“Bahkan dengan umur Perdana Menteri sekarang pun untuk beliau kekal sehingga melebihi dua penggal kelihatan agak mustahil, walaupun mungkin ia boleh berlaku,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Menurut beliau, isu menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal tidak seharusnya dianggap sesuatu yang istimewa atau mampu menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Jadi tiada apa yang ‘ajaib sangat’ dengan menghadkan tempoh Perdana Menteri selama dua penggal. Ia tidak mengenyangkan rakyat, tidak menghilangkan tekanan kos sara hidup.
“Berhubung Perdana Menteri sekarang, insya-Allah kita usahakan tidak lebih satu penggal mentadbir negara,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Parlimen tahun ini.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) berkata langkah itu bertujuan memastikan had tempoh jawatan diamalkan dan kepimpinan dapat diserahkan kepada generasi seterusnya. – HARAKAHDAILY 7/1/2026











