
KOTA BHARU: Sebuah lagi taman tema air dijangka bakal dibina dan menjadi hub rekreasi patuh syariah di Kelantan selepas Taman Tema Air Kuala Krai (Krai Water Park) yang telah beroperasi hampir setahun.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, sebuah syarikat tempatan yang optimis dengan sambutan terhadap kemudahan tersebut tampil berjumpa kerajaan negeri.
Menurutnya, pihaknya turut menyambut baik cadangan tersebut kerana dilihat selari dengan hasrat dan dasar kerajaan negeri hari ini iaitu Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
“Sebagai sebuah negeri yang mengamalkan dasar PMBI kita amat mengalu-alukan pembinaan sebuah taman tema yang berkonsepkan patuh syariah sebagai alternatif kepada taman tema air konvensional.
“Kami percaya jika ia berjaya, ia akan menjadi sumber rujukan kepada lain-lain pemaju yang ingin melabur dalam bidang pelancongan dan hiburan bertema,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu mempengerusikan pembentangan cadangan bagi pembinaan resort lengkap taman tema air bertaraf antarabangsa di Pantai Kemasin Bachok dekat sini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Dr. Hasnan Ramli; Pengarah Bahagian Kerajaan Tempatan, Nor Sheri Erani Abdullah dan wakil Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam.
Taman tema air patuh syariah adalah merujuk kepada operasi berpandukan kepada nilai-nilai agama Islam terutamanya persoalan aurat dan pengasingan jantina di dalam kawasan kolam renang.
Selain itu taman tema air turut menetapkan peraturan pemakaian renang yang menutup aurat seperti burkini atau pakaian renang Muslimah yang longgar selain persekitaran mesra keluarga.
–HARAKAHDAILY 11/12/2025




















