Perlis bersih, atlet bersemangat, rakyat dijaga

Haziq Asyraf Dun
- Advertisement -

KANGAR: Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Agenda Perlis Bersih Sihat yang kini telah mencapai hampir 94 peratus kadar pelaksanaan.

Menurutnya, ia adalah satu pencapaian besar yang membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menjadikan Perlis lebih teratur, bersih dan sihat.

- Advertisement -

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar aspek penguatkuasaan perlu diperkasakan, khususnya di lokasi tumpuan awam seperti pasar nat.

“Di (pasar) Nat pukul 12 tengah hari, keadaannya sangat-sangat menyedihkan. Mungkin kita boleh beri keutamaan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk menambah perjawatan penguatkuasa. Kita perlu pupuk sikap bersama agar negeri kita kekal bersih,” katanya.

Haziq turut menyatakan sokongan terhadap peruntukan RM3.5 juta bagi pembangunan infrastruktur sukan, namun mengingatkan keperluan penyelenggaraan berkualiti agar kemudahan tidak terbiar selepas siap.

Beliau menekankan bahawa Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 semakin hampir dan memerlukan kerjasama semua pihak.

“Kita ada ramai mantan Exco dan kepakaran. Kita boleh bersatu memastikan sasaran 20 pingat emas direalisasikan. Ini sasaran besar, tetapi bukan mustahil,” tegasnya dalam sesi perbahasan Belanjawan 2026 Negeri Perlis di Dewan Undangan Negeri (DUN), Kompleks Seri Putra.

Dalam pada itu, Haziq menyokong insentif RM10,000 bagi setiap pingat emas, menyifatkannya sebagai motivasi besar kepada atlet dan jurulatih.

Beliau turut mencadangkan agar kos pembaikan rumah ditingkatkan, terutama selepas banjir baru-baru ini.

“Banyak rumah rosak dinding, pintu kembang, kadang-kadang pintu pun kena minta dekat YB. Mungkin kos pembaikan dapat dipertingkatkan untuk bantu rakyat pasca banjir,” jelas beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri.

Haziq juga menyambut baik inisiatif Tuisyen Rakyat Perlisku Bestari bernilai RM150,000 yang memberi fokus kepada subjek penting seperti matematik, sains dan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Pendidikan tambahan seperti itu penting agar anak-anak Perlis tidak tercicir,” katanya. –HARAKAHDAILY 11/12/2025

- Advertisement -