‘Belanjawan Politik’ N9 tidak utamakan rakyat

Muhamad Hanafiah Abu Baker
- Advertisement -

​SEREMBAN: Belanjawan Negeri Sembilan 2026 disifatkan sebagai ‘Belanjawan Politik’ yang tidak mengutamakan rakyat apabila peruntukan perumahan rakyat dipotong, manakala kos ubah suai kediaman rasmi Menteri Besar diberi keutamaan tinggi.

Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, beliau terkejut apabila mendapati peruntukan bagi sektor Perumahan (P60) untuk rakyat seluruh negeri itu hanya berjumlah RM3 juta, menurun daripada RM4 juta pada tahun 2024.

- Advertisement -

​Namun menurutnya, dalam masa yang sama kerajaan negeri memperuntukkan RM910,000 semata-mata untuk kerja-kerja membaik pulih dan ubahsuai kediaman serta rumah rehat Menteri Besar.

​“Saya tertarik dalam isu perumahan ini. Untuk rakyat Negeri Sembilan, belanjawan kali ini hanya bekalkan RM3 juta.

​“Tetapi untuk membaik pulih dan ubah suai kediaman Menteri Besar serta rumah rehat, RM0.91 juta diperuntukkan. Manakala kepada Rumah Rakyat, hanya RM3 juta sahaja sepanjang tahun ini.

​“Nampak ketara perbezaan keutamaan yang diberikan. Ini yang kita katakan belanjawan yang hanya cantik di atas kertas, tetapi pengisiannya bukan untuk rakyat sebenarnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

​Hanifah turut membangkitkan bahawa walaupun Menteri Besar merupakan ‘ADUN Angkat’ bagi kawasan Labu, masih ramai penduduk di situ yang hidup susah dan memerlukan bantuan asas seperti katil hospital dan lampin pakai buang.

​Tambahnya, situasi ini amat menghairankan memandangkan Pejabat Menteri Besar mempunyai peruntukan pembangunan sosial dan kemasyarakatan yang begitu besar mencecah RM56 juta, namun rakyat bawahan masih terhimpit.

​“Bagi kami di peringkat Perikatan Nasional, belanjawan ini mengecewakan. Jabatan penting seperti pertanian dan pengairan dipotong, perumahan rakyat dikurangkan, tetapi peruntukan Menteri Besar ditambah sehingga 60 peratus dalam tempoh dua tahun,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 11/12/2025

- Advertisement -