
TEMERLOH: Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor, menggesa Jabatan Perikanan dan agensi berkaitan segera turun membantu para pengusaha muda sangkar patin di Kampung Pangsenam yang terjejas teruk akibat kejadian air besar baru-baru ini.
Beliau membuat gesaan demikian selepas meninjau keadaan pengusaha ikan sangkar di kampung berkenaan, di sini, kelmarin. (Foto atas)
Tambahnya, pengusaha sangkar patin di kawasan tersebut sedang berdepan ujian besar apabila sejumlah 46 sangkar hanyut, dengan sebahagiannya ditemui sehingga ke kawasan Guai.
“Banyak sangkar dilaporkan pecah, rosak dan bocor, menyebabkan pengusaha mengalami kerugian besar dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Beliau melahirkan rasa simpati terhadap keadaan yang menimpa para pengusaha tersebut, khususnya kerana kebanyakan mereka terdiri daripada anak muda tempatan yang sedang berusaha membangunkan perniagaan sendiri.
“Sedih melihat keadaan mereka. Walaupun diuji, mereka tetap kuat dan terus bertahan,” ujarnya.
Salamiah berharap Jabatan Perikanan dapat segera turun padang melihat sendiri keadaan sangkar yang rosak, sekali gus mempermudahkan proses permohonan bantuan bagi memastikan para pengusaha dapat bangkit semula.
“Anak muda kita ini wajar dibantu supaya mereka boleh memulihkan kembali operasi dan terus menyumbang kepada ekonomi Temerloh,” ujar beliau.
Beliau menambah pihaknya akan terus mengikuti rapat perkembangan berhubung isu tersebut bagi memastikan nasib pengusaha sangkar patin tidak terbiar tanpa perhatian. – HARAKAHDAILY 11/12/2025











