
AYER KEROH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menegaskan Bajet Melaka 2026 tidak mencatat defisit operasi.
Namun menurutnya, kedudukan kewangan negeri masih berada dalam zon ‘tidak surplus’ dan jauh daripada tahap kukuh kerana perbelanjaan pembangunan melebihi hasil.
“Walaupun angka operasi nampak stabil, negeri masih belum berada dalam kedudukan kewangan yang benar-benar selesa,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kos perbelanjaan pembangunan yang lebih besar daripada hasil menunjukkan wujud risiko fiskal yang perlu dipantau, khususnya jika projek yang dirancang tidak menghasilkan pulangan atau keberhasilan kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan negeri perlu memastikan setiap ringgit pembangunan memberi impak sebenar, bukan sekadar perbelanjaan tanpa pulangan.
Beliau menegaskan, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, strategi fiskal yang berhati-hati dan berasaskan data amat penting untuk mengelakkan beban kewangan jangka panjang.
“Melaka memerlukan pengurusan bajet yang lebih telus, berfokus hasil dan berorientasikan masa depan demi memastikan kestabilan ekonomi negeri terjamin,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2025











