Silaj alternatif makanan ruminan musim tengkujuh

Tuan Mohd Saripudin (tiga dari kiri) ketika mengunjungi Kelantan Biotech Livestock dan Bio-Art Center di Jeram Pasu, Pasir Puteh, Kelantan.
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Bekalan makanan haiwan ruminan seperti lembu, kambing dan biri-biri lazimnya terganggu setiap kali musim banjir apabila kawasan ragut ditenggelami air, sekali gus menjejaskan sumber rumput segar.

Sehubungan itu, bagi memastikan penternak tidak berdepan kekurangan makanan ternakan, Kerajaan Negeri Kelantan mengesyorkan penggunaan silaj sebagai alternatif utama sepanjang musim tengkujuh.

- Advertisement -

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata silaj menjadi pilihan terbaik ketika bencana kerana mudah disimpan, tahan lama dan mampu mengekalkan nutrisi yang diperlukan ternakan.

“Penternak digalakkan mendapatkan bekalan silaj yang dikembangkan kerajaan negeri melalui Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd, yang mengusahakan 50 ekar tanaman rumput minyak di Pasir Puteh untuk diproses sebagai makanan haiwan,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif tersebut menyediakan kemudahan lengkap kepada penternak termasuk kawasan pemprosesan rumput yang dijadikan silaj.

“Harga pun tidak mahal, RM15 untuk 40 kilogram silaj. Jadi, sesiapa yang memerlukan boleh terus berhubung dengan Kelantan Biotech.

“Penternak pada musim tengkujuh sangat digalakkan menggunakan rumput ini,” katanya.

Terdahulu dalam satu hantaran di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu mengadakan lawatan ke Kelantan Biotech Livestock dan Bio-Art Center di Jeram Pasu, di sini.

Tambah beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, kunjungan tersebut bertujuan meninjau tumpuan institusi itu terhadap pembangunan ruminan dan teknologi pemakanan haiwan ternakan termasuk projek penternakan lembu NaimBif.

Lokasi berkenaan, ujar beliau, turut menempatkan penternakan kambing kalahari bagi menghasilkan baka premium menggunakan sistem teknologi terkini dengan kepakaran anak tempatan.

“Dalam lawatan ini saya dibawa melihat operasi pembuatan silaj dalam bentuk ‘baler’ menggunakan tanaman fodder (makanan ternakan) bagi memastikan bekalan makanan ternakan ruminan lebih konsisten.

“Inisiatif ini diharapkan dapat memperhebatkan lagi sektor agrobiotek Kelantan yang menyokong peningkatan pengeluaran daging ruminan negara,” katanya. –HARAKAHDAILY 11/12/2025

- Advertisement -